

LIVERPOOL: Liverpool dan Arsenal sudah berbelanja hampir £550 juta (RM3.43 bilion) dalam perebutan pemain, namun masa depan penyerang Newcastle, Alexander Isak masih menjadi bayangan menjelang pertembungan dua pencabar utama gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad ini.
Liverpool yang juga juara bertahan dilaporkan menjadi destinasi pilihan Isak sekiranya penyerang Sweden itu berjaya mengatur langkah keluar dari St James Park sebelum tarikh tutup perpindahan, Isnin ini.
Namun, persembahan awal musim skuad kendalian Arne Slot menimbulkan persoalan sama ada The Reds wajar melabur lebih besar untuk memperkukuh jentera serangan atau sebaliknya menambah kekuatan di bahagian pertahanan yang dilihat rapuh setakat ini.
Newcastle dikatakan hanya akan melepaskan Isak dengan harga £150 juta (RM936 juta). Pemain itu sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat mahu meninggalkan kelab dan masih belum beraksi musim ini.
Liverpool sudah pun melabur £100 juta (RM624 juta) untuk mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz jumlah yang boleh meningkat sehingga £116 juta (RM724 juta), sekali gus memecah rekod perpindahan Britain selain membelanjakan £69 juta (RM430 juta) bagi membawa masuk penyerang Perancis, Hugo Ekitike.
Bagaimanapun, Wirtz dilihat masih tenggelam manakala Ekitike cemerlang dengan tiga gol dalam tiga perlawanan EPL dan Perisai Komuniti.
Liverpool pula terpaksa bergantung kepada detik-detik dramatik untuk mencatat kemenangan dalam dua aksi pembukaan EPL, menang 4-2 ke atas Bournemouth dan 3-2 menundukkan Newcastle.
Pemain muda berusia 16 tahun, Rio Ngumoha menjadi wira tidak dijangka di St James Park Isnin lalu, ketika Newcastle beraksi penuh emosi selepas berang dengan cubaan Liverpool mendapatkan Isak.
Federico Chiesa juga tampil memberi impak dengan menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Bournemouth selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Slot bagaimanapun menegaskan dia berpuas hati dengan barisan serangan sedia ada walaupun selepas penjualan Luis Diaz dan Darwin Nunez serta kehilangan tragis Diogo Jota yang maut dalam kemalangan jalan raya bulan lalu.
“Saya gembira dengan skuad ini, tetapi jika ada pemain yang benar-benar boleh meningkatkan pasukan, kelab ini selalu menunjukkan kesediaan untuk membawanya masuk.
“Tetapi ia mesti memenuhi semua syarat yuran perpindahan, posisi sesuai dan pemain itu mahu bersama kami. Saya tidak fikir hujung jendela perpindahan ini akan sibuk kerana itu bermakna saya tidak gembira dengan skuad yang ada,” katanya.
Liverpool turut membawa masuk dua bek kanan baharu, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong serta pertahanan muda Itali berusia 18 tahun, Giovanni Leoni.
Namun ramai berpendapat The Reds masih perlu menambah bek pertahanan sebelum tarikh tutup perpindahan, apatah lagi pemain tengah Dominik Szoboszlai terpaksa bermain di posisi bek kanan ketika menentang Newcastle, manakala masa depan Ibrahima Konate yang tidak menentu turut memberi kesan kepada permulaan hambar musim ini. – AFP