
Slot dikenakan hukuman berkenaan atas tingkah lakuknya ketika perlawanan tetangga Merseyside.
LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot tidak akan bersama pasukan ketika melayan kunjungan Newcastle awal pagi esok selepas dikenakan penggantungan dua perlawanan serta denda disebabkan tingkah lakunya di perlawanan tetangga Merseyside.
Jaringan penyamaan pemain Everton, James Tarkowski di masa tambahan ketika kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Goodison Park pada 12 Februari lalu mencetuskan suasana huru-hara.
Slot dan pembantunya, Sipke Hulshoff diarah keluar oleh pengadil Michael Oliver bersama pemain Liverpool, Curtis Jones dan pemain tengah Everton, Abdoulaye Doucoure.
FA kemudian mengeluarkan kenyataan yang menyatakan suruhanjaya kawal selia bebas mengenakan tindakan ke atas Everton, Liverpool, Slot dan Hulshoff.
“Adalah didakwa yang ketua jurulatih Liverpool bersikap tidak wajar dan/atau menggunakan kata-kata menghina dan/atau kesat kepada kedua-dua pengadil perlawanan dan pembantu pengadil selepas perlawanan berakhir,” kata kenyataan itu.
“Arne Slot mengakui tuduhan berkenaan dan Suruhanjaya Pengawalseliaan mengenakan penggantungan dua perlawanan dan denda 70,000 pound (RM392,222).
Dalam pada itu, Everton didenda 65,000 pound (RM364,206) dan Liverpool 50,000 pound (RM280,148).
Slot bakal terlepas perlawanan menentang Newcastle dan satu lagi perlawanan di laman sendiri bertemu Southampton pada 8 Mac ini.
Penggantungan itu adalah untuk perlawanan domestik sahaja dan ini bermakna dia dibenarkan untuk berada di kawasan teknikal ketika Liverpool berkunjung ke laman Paris Saint-Germain untuk aksi pertama perlawanan 16 terakhir Liga Juara-Juara 5 Mac ini.
Dia juga bakal berada bersama pasukan ketika final Piala Liga yang menyaksikan Liverpool menentang Newcastle pada 16 Mac ini. – AFP