
SHAH ALAM: Kumpulan muzik legenda Slam kembali mencuri perhatian apabila mengumumkan penganjuran The Grand Slam Unplugged 2, kesinambungan daripada konsert unplugged ikonik mereka yang mencetuskan fenomena lebih dua dekad lalu.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 20 Jun depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu akan membawa ingatan peminat kembali ke detik persembahan unplugged pertama mereka pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka apabila kumpulan itu tetap meneruskan persembahan walaupun berlaku gangguan bekalan elektrik.

Meneruskan legasi tersebut, Slam yang dianggotai Zamani, Shah, Eddie, Man dan Lili kekal sebagai sebuah kumpulan lebih tiga dekad dalam industri muzik tanah air, sekali gus menjadi asas penganjuran konsert terbaharu berkenaan.
Pemain gitarnya Shah berkata edisi kali ini meraikan perjalanan Slam bersama-sama dengan peminat serta perkembangan karya mereka yang terus diterima merentasi era muzik.

Beliau yang juga penganjur konsert menerusi syarikatnya SS Karya Ventures, berkata kekuatan Slam bukan hanya pada karya yang malar segar, tetapi juga kesepakatan serta sikap saling menghormati dalam kalangan ahli.
“Konsert ini merupakan sebuah reminiscence (kenangan) lagu-lagu Slam yang terus hidup merentasi era kaset hingga platform penstriman dan masih diterima baik oleh peminat kami. Konsert ini satu apresiasi akan karya dan peminat kami,” katanya pada sidang media konsert itu di Kuang, Sungai Buloh, dekat sini semalam.

Menurutnya, pada konsert itu mereka akan mempersembahkan lebih 25 lagu menerusi tiga segmen yang menceritakan perjalanan muzik Slam dari awal hingga karya malar segar, selain momen istimewa bersama-sama dengan artis jemputan.
Shah berkata setakat ini sambutan terhadap konsert itu amat menggalakkan dengan lebih 60 peratus tiket telah terjual sejak dilancarkan.
Sementara itu vokalis Slam, Zamani pula berkata idea mengangkat semula era 1996 berkait rapat dengan pengalaman mencabar yang pernah dilalui kumpulan tersebut ketika menjayakan persembahan dalam keadaan negara berdepan gangguan bekalan elektrik.

Beliau berkata ketika itu, Slam berjaya menghiburkan penonton walaupun dalam keadaan gangguan bekalan elektrik dan sistem bunyi terhad.
“Kami tak tahu masa itu satu Malaysia ‘blackout’. Bila sampai lokasi, baru dimaklumkan tiada elektrik dan pasukan produksi terpaksa guna generator. Walaupun lampu tak cukup dan bunyi tak seperti biasa, kita teruskan juga persembahan,” katanya yang menyifatkan pengalaman itu sebagai simbol ketahanan dan komitmen Slam terhadap muzik, yang ingin dikongsikan semula dengan peminat dalam konsert akan datang.
Konsert berkenaan turut menampilkan tiga pemain gitar jemputan iaitu Joe Branko, Kid Search dan Aznan Alias, selain penglibatan 20 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan bagi memperkaya persembahan malam itu.- Bernama