DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan hadiah Atlet Paling Berpotensi kepada Darren Ch’ng
Yong sambil disaksikan (dari kanan) Nancy Jolhi, Dayang Noorazah Awang Sohor, Datuk Francis Harden Hollis
dan Dato Rahman Lariwoo.
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis skuad tinju Sarawak mampu melakar kejutan dengan memenangi lebih dari satu pingat emas yang disasarkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022 pada September depan.
Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi cemerlang petinju Sarawak pada Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022 yang melabuhkan tirainya di Stadium Tertutup Sri Aman pada Ahad lepas.
“Daripada apa yag kita lihat, kita lebih kurang tahu bagaimana tahap keyakinan dan juga kemampuan pasukan tinju Sarawak dalam SUKMA.
“Insyallah kita akan boleh menyumbang beberapa pingat emas kalau beginilah keadaannya.
“Sasaran emas untuk tinju sekurang-kurangnya satu pingat emas namun harapan saya untuk melihat lebih daripada itu,” katanya kepada wartawan selepas menyempurnakan penutupan Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022 di Stadium Tertutup Sri Aman pada Ahad lepas.
Dalam pada itu, beliau berkata Sri Aman berpotensi untuk dijadikan pusat pembangunan sukan tinju di Sarawak selepas melihat sambutan menggalakkan terhadap penganjuran kejohanan tersebut.
Katanya, Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) telah berjaya menganjurkan kejohanan itu dengan baik sekali melihat kepada sambutan begitu menggalakkan terhadapnya sejak bermula pada 15 Ogos lepas.
Terdahulu, Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo dalam ucapan aluannya berharap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan memberikan lampu hijau untuk menganjurkan Kejohanan Tinju Remaja Dunia Asia Tenggara di Sarawak.
“Saya amat berharap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan kita bersetuju untuk menganjurkan kejohanan tinju pada skala yang lebih besar di Sarawak pada masa akan datang,” ucapnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Nancy Jolhi.
Sementara itu, petinju harapan Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’ berikrar untuk memberikan yang terbaik untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sarawak pada temasya Sukma nanti.
Ujarnya, keyakinan beliau untuk merangkul pingat emas pertamanya dalam temasya dwitahunan itu kian meningkat selepas beberapa siri kejayaannya di kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa serta rejim latihan yang semakin diperhebatkan.
“Saya bertambah yakin untuk menyumbang pingat emas kepada Sarawak pada SUKMA di Kuala Lumpur nanti.
“Sudah tentu saya akan meningkatkan lagi latihan saya selepas ini untuk menghadapi kejohanan itu,” katanya ketika ditemuramah.
Nada sama turut dinyatakan seorang lagi petinju Sarawak, Jackson Chambai Ikeh di mana beliau juga akan meningkatkan lagi rejim latihannya sebagai persiapan menghadapi SUKMA.
Pada Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022, Daeloniel McDelon menceriakan ribuan penyokong tuan rumah dengan merangkul emas selepas menundukkan Muhammad Ridzuan Mohd Razali dari Rejimen Askar Diraja dalam pertembungan tiga pusingan.
Jackson turut merangkul emas selepas Muhammad Abdul Qayum dari Majlis Sukan Negara (MSN) menarik diri dari perlawanan final.
Skuad Sarawak turut memenangi dua lagi pingat emas menerusi Rais Arsyad Sulam dan Mohd Helmi Chieng.
Selain itu, Darren Ch’ng Yong Kui dan Mohamed Rafieq Murshidi menyumbang perak manakala Mohd Syawal Isham dan Wilson Berayin menyumbang gangsa.
Dalam pada itu, Darren Ch’ng turut dinobatkan anugerah Atlet Paling Berpotensi kejohanan.
Oleh FATIN SYAHREZA