SKS Sarikei himpun pelbagai perkhidmatan untuk rakyat

Facebook
WhatsApp
SOKONG USAHAWAN… Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki menyampaikan cenderamata kepada peniaga ketika mengadakan lawatan ke Dapur Sarikei dan Jualan sempena prapelancaran Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026, hari ini.

SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 dijangka menarik kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang penganjurannya sekali gus menjadi platform penting dalam mendekatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki berkata, persiapan bagi penganjuran program berkenaan berjalan lancar menjelang majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, esok.

Beliau berkata pelbagai agensi kerajaan mengambil bahagian dengan mempamerkan produk serta menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai menerusi Pavilion Sarawak dan Perkhidmatan.

“Alhamdulillah, persiapan berjalan lancar untuk majlis perasmian esok oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Hari ini kita melihat banyak agensi telah terlibat dalam mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan. Inilah cara kita mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Kerajaan datang kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media di Pavilion Sarawak dan Perkhidmatan, hari ini.

TINJAU PERSIAPAN… Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki ditemui media selepas meninjau persiapan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 di Pavilion Sarawak dan Perkhidmatan, Sarikei, hari ini.

Beliau berkata program itu memberi peluang kepada rakyat memperoleh maklumat yang lebih jelas mengenai pelbagai perkhidmatan yang disediakan kerajaan, di samping membolehkan mereka mendapatkan jawapan serta maklum balas segera berkaitan pelbagai urusan harian.

“Pada masa yang sama, rakyat akan mendapat jawapan dan maklum balas segera mengenai apa sahaja perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.

“Ini sedikit sebanyak memberikan penerangan yang jelas mengenai fungsi yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Mohammad Abu Bakar berkata beliau turut mengunjungi beberapa kaunter perkhidmatan dan mendapati sambutan orang ramai amat menggalakkan, khususnya mereka yang ingin mendapatkan maklumat secara terus daripada agensi berkaitan.

“Saya dapati ramai rakyat berminat mendapatkan perkhidmatan secara terus.

“Sebagai contoh, kita menyediakan kaunter pendidikan dan kaunter berkaitan pekerjaan. Anak-anak muda yang berminat untuk bekerja dalam sektor kerajaan, swasta atau mana-mana majikan boleh mendapatkan maklumat mengenai tatacara mengemukakan permohonan,” katanya.

Beliau berkata, sebagaimana penganjuran SKS di bahagian lain, pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program berlangsung bagi memenuhi keperluan serta minat pelbagai lapisan masyarakat.

Antara pengisian yang disediakan ialah konsert rakyat, malam kebudayaan serta Dapur Sarikei dan Jualan yang menghimpunkan usahawan tempatan bersama pelbagai produk makanan dan kraf tangan.