SIASAH negara tidak pernah berhenti bergolak. Daripada satu isu ke suatu isu, pasti ada sesuatu penampilan babak baharu dengan jalan cerita baharu yang diperankan dengan penuh sensasi serta aksi lakonan yang amat meyakinkan. Sketsa yang membuat audiens, khususnya dalam kalangan penggemar konflik yang dipaparkan, bukan sahaja teruja, akan tetapi mampu “menghayati” dan “menjiwai” setiap aksi dan konflikkepada .
Respons yang ditunjukkan oleh audiens berkenaan pula membangkitkan semangat kepada penulis skrip, penagarah dan seluruh kru produksi bertungkus lumus untuk memaparkan adengan yang lebih dramatik dan mengesankan. Malah, para pelakonnya pun cuba sedaya upaya untuk melobi bagi meyakinkan penulis skrip dan pengarah bahawa merekalah yang paling layak untuk membawa peran yang bakal ditampilkan. Bukan kerana bakat yang ada, akan tetapi kilauan populariti, sensasi serta ganjaran yang “teramat” lumayan yang mampu menampung kehidupan, ibarat kata kias orang lama, selama “tujuh keturunan”.
Suatu masa dahulu, Thailand, Negara Gajah Putih, sering bergolak dengan tuntutan serta gesaan kumpulan yang bersilih ganti lewat demonstrasi atau tunjuk perasaan besar-besaran melibatkan puluhan ribu rakyat yang berkumpul. Setiap kumpulan memiliki penjenamaan sendiri lewat pamakaian baju-T dengan warna tertentu, misalnya merah dan kuning. Hal sedemikian berlarutan sehingga seakan-akan kelihatan bahawa negara berkenaan dilanda kemelut untuk memilih pemimpin yang paling layak memimpin negara. Kemelut berkenaan pula mampu ditafsirkan sebagai petanda tidak akan tercapai kesepakatan dalam pemilihan ketua kerajaan. Malah, dalam situasi yang begitu hangat, kuasa yang ada pada istana tidak lagi dihiraukan oleh rakyat yang semakin memberontak inginkan perubahan.
Setelah agak sekian lama negara berkenaan disapa “teduh”, negara kita yang menjadi jirannya pula seakan-akan terjangkit oleh sentimen sedemikian. Tidak dari kalangan rakyatnya, akan tetapi lebih menjurus ke arah sentimen kepartian dalam kalangan ahli-ahlinya yang kian berkocak sehinggakan kocakan yang dihadirkan oleh badai Covid-19, dilihat sebagai tidak mendatangkan apa-apa impak yang membawa kepada “pengecutan” buak sentimen golongan ini. Pengutamaan terhadap kemandirian parti di samping “penegakan” maruah mengatasi soal kemanusiaan.
Paparan yang ditayangkan lewat sketsa siasah masa kini memberi gambaran jelas akan niat yang tersirat berbanding niat yang tersurat. Apa-apapun alasan yang diberikan berlandaskan faktor tertentu yang dilihat sebagai wajaran yang mampu membawa laba serta leverage kepada parti secara keseluruhannya dan individu tertentu khasnya, masih terkesan bayang-bayang hitam niat yang tersirat. Memang agak mustahil dan tidak masuk akal sekiranya hal sedemikian tidak dapat dihidu oleh mana-mana pihak yang waras. Atau mungkinkah segaanya berupa persengkokolan yang “direstui” samata-mata agar tidak dilihat sebagai bersikap protagonis?
Dalam situasi yang sedemikian, agak kurang wajar mendiamkan diri dan melihat sahaja segala kebejatan dan kemungkaran yang berlaku di hadapan mata tanpa memberikan teguran atau setidak-tidaknya “memugar” ingatan mereka yang terlalu lama “hidup” dalam dunia siasah sehingga mudah lupa atau dengan erti kata lainnya, semakin nyanyuk. Tidak kira apa-apa juga pegangan, anutan, aliran dan seumpamanya, sikap sedemikian ibarat “penegakan benang yang basah”. Di samping itu, merelakan nilai-nilai negatif terus membudaya dalam ranah siasah untuk diwariskan kepada generasi masa hadapan.
Sebagai orang yang berpengalaman dan dianggap “veteran” dalam perjuangan mentadbir urus negara, pelarasan pandangan wajar dihalatujukan kepada menyantuni kehendak rakyat. Tidak salah menegakkan perjuangan parti, akan tetapi tindakan sedemikian seharusnya berupa elemen sekunder dan tidak harus mengatasi kepentingan mensejahterakan kehidupan rakyat, di samping menegkalkan suasana damai dan harmoni agar negara mampu bergerak pada landasan yang telah dibina untuk memastikan negara terus berkembang maju serta makmur.
Perdebatan serta konflik pendapat yang dihadirkan tidak waima satu sen pun mampu menjana pendapatan negara. Malah, hal yang sedemikian menghadirkan keadaan kacau-bilau dan huru-hara yang tiada berpenghujung. Tidakkah mampu dicapai satu kesepakatan dalam kalangan parti-parti yang sememangnya dimaklumi tidak sealiran pandangan dan matlamat ini, melakukan “genjatan” polemik bagi menghadirkan suatu “musim” tenang agar jentera kerajaan mampu kembali beroperasi bagi menzahirkan hasrat dan aspirasi untuk memastikan nasib rakyat senantiasa terbela. Semangat sedemikian inilah yang wajar ditampilkan lewat gagasan asiprasi Keluarga Malaysia. Usah lagi ditampilkan sketsa Luncai terjun dengan labu-labunya!
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!