APABILA perkataan “setia” dilontarkan, pelarasan persepsi lazimnya akan menghala pada sama ada aspek keteguhan atau ketetapan hati, berpegang teguh pada janji, kepatuhan mahupun ketaatan dalam sesuatu perhubungan, khususnya dalam konteks alam bersuami isteri. Aspek kesetiaan inilah yang menjadi sayat bernilai dalam penganyaman ambal kesejahteraan sesebuah institusi kekeluargaan.
Dalam konteks sedemikian, kesetiaan dituntut daripada kedua-dua pihak, sama ada suami, mahupun isteri. Ketidakseimbangan penerapan nilai berkenaan dalam nubari dan diterjemahkan dalam bentuk perlakuan, tidak akan menjamin kesejahteraan, ketenteraman dan keharmonian yang diharap-harapkan. Bukan sesuatu keanehan atau keluarbiasaan sekiranya terjadi keruntuhan institusi kekeluargaan apabila salah satu pihak mengabaikan aspek kesetiaan. Malah, isu perceraian akibat berlakunya ketidaksetiaan salah satu pihak, terlalu banyak berlaku, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat marhaen, malah dalam kalangan golongan yang berada dan berkedudukan tinggi dalam strata kemasyarakatan.
Namun, andai dibuka luas mandala perbincangan, aspek kesetiaan tidak hanya terbatas dalam kerangka institusi kekeluargaan semata-mata. Unsur kesetiaan menerjah dan mencakupi landskap kehidupan yang teramat luas. Dari aspek hubungan antara manusia dengan manusia (persahabatan), sehinggalah kepada kenegaraan. Andai ditaakuli, perkataan “setia” kerap kali disebut dalam mana-mana jua ranah. Akan tetapi, kedalaman dari segi pemahaman dan penjiwaannya, masih pada tahap yang amat rendah.
Sifat setia amat subjektif. Luahkanlah beratus kali, akan tetapi seandainyatidak meninggalkan kesan mendalam di jiwa serta bersulam sayat kesangsian, luahan berkenaan tidak membawa apa-apa makna yang signifikan. Demikian juga halnya dalam konteks tuntutan agar seseorang harus setia, sama ada kepada organisasi, jabatan, negara mahupun raja, tidak mampu terzahir secara total memandangkan masih terkesan aspek “paksaan” dalam bentuk yang halus. Hal ini dikatakan sedemikian kerana nilai kesetiaan tidak mampu dihadirkan secara paksa. Kesetiaan bukan bersifat luaran, akan tetapi bersifat dalaman, di samping terbit daripada keikhlasan.
Dalam konteks organisasi atau jabatan, salah satu kriteria yang dituntut sudah semestinya aspek kesetiaan terhadap entiti yang dicurahkan khidmat bakti bagi mengelak daripada berlakunya penyelewengan, ketirisan serta sabotaj yang mampu menghancurkan keseluruhan entiti berkenaan. Hal yang bakal menalikan kesan penjejasan terhadap kebajikan dan nasib kebanyakan individu lain, dan malah keselamatan negara keseluruhannya apabila melibatkan aspek yang menyentuh soal kerahsiaan, khususnya ketenteraan.
Bukan tidak wujud individu yang mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap mana-mana juga organisasi yang dinaunginya. Malah, terdapat individu-individu tertentu yang nilai kesetiaannya terlalu kejap sehingga sanggup bertungkus lumus untuk memastikan kemandirian dan kejayaan sesebuah organisasi, tempat dia mencurahkan khidmat bakti. Malah, dalam konteks tertentu, nilai kesetiaan berkenaan terpamer apabila individu berkenaan sanggup “berkorban nyawa” untuk mempertahankan keselamatan dan kerahsiaan organisasi berkenaan. Dalam konteks sedemikian, bukan aspek pujian atau ganjaran yang diharap-harapkan, akan tetapi, pelarasan pandangan terhala pada tanggungjawab yang digalas yang nantinya akan dipersoal dan dihisab.
Namun, seperti yang dinyatakan pada awal makalah, kesetiaan berlaku secara dua hala, bukan sahaja dalam konteks hubungan suami isteri semata-mata, malah dalam apa-apa juga ranah kehidupan. Persoalannya, bagaimanakah pula penterjemahan “kesetiaan” organisasi atau dalam erti kata lain, majikan, mampu dizahirkan. Hal sedemikianlah yang amat jarang-jarang sekali diambil perhatian dan seakan-akan tidak mahu diketengahkan dalam mana-mana arena perbincangan di peringkat pengurusan.
Sejauh manakah kesetiaan majikan terhadap pekerjanya? Jika diajukan soal berkenaan, sudah pasti, dalam kegagapan, jawapannya dilaraskan pada aspek pengganjaran dalam bentuk jumlah gaji yang ditawarkan. Kesetiaan dalam konteks ketepatan majikan “membayar” upah setiap akhir bulan. Benarkah sedemikian tafsirannya? Malah, dalam situasi pekerja menemui ajal semasa berkhidmat, “kesetiaan” berkenaan ditampilkan dalam bentuk “pemberian” ganjaran ikhlas yang bersifat one off, sama ada kepada balu mahupun anak-anak arwah sebagai “tanda” menghargai khidmat bakti yang telah diberikan serta kesetiaan yang dipamerkan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Noktah!
Dalam konteks sedemikian, nilai kesetiaan sebenarnya hanya terzahir pada satu pihak semata-mata, iaitu pekerja. Sedangkan bagi pihak majikan, terdapat kesetiaan lain yang lebih primer sifatnya, iaitu kesetiaan dalam pengejaran keuntungan dan kedudukan. Natijahnya, untuk menganyam ambal kesetiaan bukan perkara mudah dan memerlukan pemahaman serta pengertian yang mendalam. Kesetiaan tidak seharusnya diucapkan, akan tetapi dirasai serta dijiwai sepenuhnya. Lantas, sejauh dan sedalam manakah kesetiaan kita, dan malah majikan, dalam apa-apa juga ranah kehidupan? Jawapannya terserah kepada masing-masing.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!