BA’KELALAN: Warga Sekolah Kebangsaan Ba’kelalan bersama komuniti setempat telah berjaya melaksanakan Projek Taman Botani.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Sri Nancy Shukri, inisiatif ini adalah untuk mendedahkan anak-anak dengan ilmu alam semula jadi.
“Kami mengambil masa sekitar setengah jam melalui jalan hutan kecil ke Taman Botani.
“Saya melihat potensi yang ada pada kawasan tersebut sebagai salah satu aktiviti pakej pelancongan yang boleh ditawarkan oleh pengusaha sektor pelancongan dan kebudayaan di Ba’kelalan,” jelasnya.
Nancy Shukri yang dalam rangka lawatan kerja ke Ba’kelalan pada Jumaat lalu terharu melihat keramahan anak-anak sekolah itu yang berusia antara 7 hingga 10 tahun dengan melambai tangan sambil berkata, “Thank you for visiting us”.
Seterusnya, rombongan MOTAC meneruskan perjalanan ke Kampung Buduk Nur untuk menyertai kumpulan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Arkib Malaysia Cawangan Sarawak yang terlibat dalam penganjuran Pameran dan Makmal Teknikal Pembuatan Eko-Print.
Semasa tinjauan tersebut, beliau kagum dengan semangat penduduk di situ yang mahu memperkasakan lagi ilmu mereka dalam seni dan kraf meskipun sudah mahir dalam teknik menganyam dan mencanting batik.
Malah, terdapat juga dalam kalangan peserta membawa anak-anak mereka untuk menyertai lukisan seni.
Pada sebelah malamnya, Nancy Shukri menghadiri Penutupan Program Visit My Kampung Ba’kelalan di Rumah Panjang Kadan.
“Kami dirai dengan sajian makanan tempatan.Turut menyertai kami adalah 10 influencer media sosial dari Semenanjung dan Sarawak yang mengikuti Program Digital Media FAM Trip anjuran Tourism Malaysia.
“Mereka ialah Hazeman Huzair, Kaki Travel, Biliq Tidoo, Khairul Jamain dan LOCCO manakala, dari Sarawak ialah Borneo Digital : iloveborneo, Shirly & Nomi, Mytravelicious dan Borneographers + Travel with Seth,” jelasnya.
Nancy juga menggesa peserta yang mengikuti program ini untuk sama-sama mempromosikan Ba’kelalan dalam merancakkan pelancongan domestik.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kebudayaan, Dato Dr. Noor Zali Hamat, Pengarah Kementerian Pelancongan Sarawak, Suriah Charles Buas dan pegawai kanan Kementerian Pelancongan Putrajaya.
Oleh Adeng Edrus