KUALA LUMPUR: Usaha untuk mempersiapkan transformasi industri di Malaysia ke arah Industri 4.0 diteruskan dengan pelaksanaan tiga inisiatif baharu yang memberi fokus kepada pembangunan industri reka bentuk.
Inisiatif tersebut ialah pensijilan Certified Industrial Designer (CID), Pertandingan Kempen Kreatif Covid-19 dan portal digital SIRIM 3D Printing Market Place yang dilaksanakan oleh SIRIM Bhd dan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).
Pengurus Besar MRM Profesor Madya Dr. Mohamad Hariri Abdullah berkata, pihaknya menjangka sebanyak 500 permohonan diterima bagi pensijilan CID pada Oktober ini dan menyasarkan 200 pereka industri bakal menerima pensijilan pada tahun ini.
“Pengiktirafan ini merupakan satu anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungan reka bentuk untuk kekal relevan kepada industri tempatan dan global terutama dengan revolusi dan ledakan teknologi IR4.0,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran CID di sini, semalam.
Turut diadakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Kreatif Covid-19 dan Majlis Pelancaran SIRIM 3D Printing Market Place yang dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.
Sebanyak 372 penyertaan dari seluruh negara telah diterima untuk Pertandingan Kempen Kreatif Covid-19 pada 7 hingga 29 Mei lepas yang terbahagi kepada dua kategori iaitu video pendek dan poster digital.
Mohamad Hariri berkata CID menjadi penanda aras tahap kompetensi pereka bentuk profesional dan menjadi asas rujukan kepada semua organisasi yang ingin mendapatkan pensijilan untuk pereka bentuk industri.
Menurutnya, seramai 785 pereka bentuk industri dan 74 buah industri reka kreatif aktif di Malaysia pada masa ini.
Katanya pendekatan Covid-19 yang ditransformasikan melalui penghasilan karya dengan penuh kreativiti itu bagi meningkatkan pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard dalam era norma baharu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata 3D Printing Market Place adalah platform digital yang dibangunkan sejak Mac 2020 untuk menjadi medium bagi pereka bebas, usahawan teknologi dan syarikat pembuatan untuk berhubung dan berkongsi idea dalam industri reka bentuk, teknologi dan pembuatan.
“Pengguna portal bukan sahaja boleh mengakses rekaan yang dikongsi di portal ini, malah mereka boleh memuat naik serta memuat turun data yang dikongsi di portal ini.
“Sehingga kini, sebanyak 12,865 capaian dan seramai 33 pereka telah memuat naik rekaan mereka, 180 rekaan telah dimuat naik dan 18 orang telah mencetak rekaan mereka menggunakan portal ini,” katanya. – Bernama