
SIBU: Sibu International Powerboat Race (SIPBR) 2025 melabuhkan tirai petang semalam di Waterfront Pulau Li Hua di sini, selepas berlangsung selama tiga hari bermula 25 April lepas.
Acara yang menghimpunkan 262 penyertaan dari pelbagai kategori termasuk pasukan dari negara jiran Brunei Darussalam itu menyaksikan persaingan sengit untuk merebut gelaran juara dalam perlumbaan berprestij berkenaan.
Dalam kategori 5HP Open Hull, Edwin Amu dari Adong Belalai Racing Team Julau muncul juara, diikuti Adam Kiew dari Flexfighter Racing Team Mukah di tempat kedua dan Shahrol Saai dari Kupang.com Mukah di tempat ketiga.
Kategori 18HP & Below Long Boat pula dikuasai Frankie Ngu dari Sengayan Racing Team Kanowit, dengan Awang dari Frankie Racing Team O7 di tempat kedua dan Alfredius Calril B Bunut dari Griffin Warrior Kampung Tanam Dalat di tempat ketiga.
Dalam saingan 30HP 3 Cylinder Tunnel Boat, pelumba Brunei Darussalam, Abdul Muhaimin Armani dari pasukan Raja Kerbau, mengungguli perlumbaan, meninggalkan Kassim bin Karim dari Layang-Layang Dalat/Marudi di tempat kedua dan Md Suhaizal Armani, juga dari pasukan Raja Kerbau, di tempat ketiga.
Jerry Abong dari Timang Lundu pula menjuarai kategori 18HP & Below Tunnel Boat, diikuti Lawai Junis dari John Racing Layang-Layang Dalat/Long Lama di tempat kedua dan Willy dari Guan Racing Team Miri ketiga.
Dalam kategori 30HP 2 Cylinder Tunnel Boat, Kassim Karim dari John Racing Layang-Layang Dalat/Marudi berjaya meraih tempat pertama, meninggalkan Robin Gasing dari Bro Speed Double Blade dan Azwan Yahya dari Burung Ensing Racing Team Sebauh di tempat kedua dan ketiga masing-masing.
Saingan kategori Formula 4 (45SST) pula menyaksikan Kassim Jafar dari Team Song mengungguli perlumbaan, diikuti Tilletson Edmund dari Team Meligai Kapit dan Roben Gasing dari Athena Racing Team.
Bagi kategori Formula 5 (50HP) Tunnel Boat, Mohd Aliffudin dari Alta Blaze Kapit dinobatkan sebagai juara, manakala Kassim Karim (Layang-Layang Dalat/Marudi) dan Abdul Muhaimin Armani (Raja Kerbau Brunei Darussalam) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Dalam acara kemuncak kategori Formula 3 (SST60), Nordin Idris dari Ming Al Din 98 Kuala Belait, Brunei Darussalam, dinobatkan sebagai juara, menewaskan Jose Edmund dari Team Meligai Kapit yang menduduki tempat kedua dan Riddick Lazarus dari Machan Warrior Kanowit di tempat ketiga.
SIPBR2025 dianjurkan oleh Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu dengan kerjasama strategik Kelab Sukan Rekreasi Pulau Li Hua dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Li Hua.
Acara sukan air tahunan itu berjaya menarik kehadiran ribuan penonton dari dalam dan luar kawasan Sibu, sekali gus merancakkan sektor pelancongan tempatan.
Oleh Tarani Lanting