Singapore Airlines lanjutkan tempoh pembatalan penerbangan ke Dubai sehingga 2 Ogos susulan konflik Asia Barat

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan

SINGAPURA: Kumpulan Singapore Airlines (SIA) telah melanjutkan tempoh pembatalan penerbangan Singapura-Dubai-Singapura sehingga 2 Ogos 2026 berikutan konflik yang berterusan di Asia Barat.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa penerbangan SQ494 dari Singapura ke Dubai dan SQ495 dari Dubai ke Singapura akan dibatalkan.

“Memandangkan keadaan masih tidak menentu, penerbangan SIA yang lain mungkin turut terjejas. Pelanggan yang terlibat dengan pembatalan ini akan ditempatkan semula dalam penerbangan alternatif atau boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan,” menurutnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Syarikat penerbangan itu sebelum ini mengumumkan pembatalan penerbangan yang sama sehingga 31 Mei 2026 susulan konflik berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu memaklumkan bahawa kini hanya terdapat 55 penerbangan mingguan antara Singapura dan Abu Dhabi, Bahrain, Doha, Dubai serta Jeddah, berbanding 154 penerbangan mingguan sebelum konflik bermula pada Februari.- Bernama

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos

Amaran gelombang haba di Seoul

SEOUL: Agensi cuaca negeri mengeluarkan amaran gelombang haba bagi kebanyakan kawasan di Seoul pada Rabu, iaitu amaran kedua bagi ibu negara