KUCHING: Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gelombang kedua banjir membadai negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata berikutan itu, semua agensi diingatkan untuk sentiasa bersiap sedia dari segi aset dan logistik di bawah tanggungjawab masing-masing.
“Ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya gelombang kedua banjir,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN mengenai situasi terkini banjir di Sarawak di sini hari ini.
Uggah berkata Residen Bahagian dan Pegawai Daerah juga diarahkan untuk memastikan respons yang pantas dan berkesan dalam menangani situasi banjir dilaporkan dari semasa ke semasa.
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat untuk sentiasa berwaspada dan senantiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
“Masyarakat juga disarankan untuk membuat persediaan awal sekiranya diarahkan untuk berpindah ke tempat yang selamat ketika berlakunya kejadian bencana,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN