
NIAH: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) hari ini menganjurkan sesi perkongsian berkaitan aktiviti ekopelancongan dan bot bersama agensi kerajaan dan komuniti setempat di Taman Negara Niah.
Menurut kenyataan SFC, taklimat dalam sesi tersebut disampaikan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang menyentuh aspek aktiviti bot, manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi penerangan berkaitan pengurusan inap desa.
Program ini merupakan susulan daripada bengkel dan tinjauan lapangan yang telah diadakan bersama pelbagai agensi kerajaan dari 5 hingga 23 Jun, berakhir semalam. Antara pihak yang terlibat termasuk Pejabat Daerah Kecil Niah, Jabatan Muzium Sarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak serta komuniti Niah sendiri.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.
Turut hadir wakil daripada Pejabat Khidmat Masyarakat Niah (ADUN Kemena), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, MOTAC Sarawak, Majlis Daerah Subis serta wakil komuniti setempat.
Oleh Adum Liu