SEZ Sibu lambang fasa baharu pembangunan ekonomi Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sibu bukan sekadar pemangkin pembangunan ekonomi, malah melambangkan fasa baharu dalam perjuangan Sarawak memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara menyeluruh menerusi pertumbuhan sosioekonomi mampan.

Menjelang sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, Sibu mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah negeri sebagai tempat lahirnya semangat perjuangan kemerdekaan Sarawak. 

Beliau berkata, walaupun kemerdekaan telah dicapai, tidak bermakna perjuangan itu berakhir kerana tanggungjawab hari ini ialah memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati setiap lapisan rakyat melalui pembangunan inklusif dan mampan.

Beliau berkata, cadangan penubuhan SEZ Sibu merupakan strategi untuk menterjemahkan erti kemerdekaan kepada manfaat sebenar yang dapat dirasai rakyat menerusi pelaburan baharu, peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan isi rumah serta pengurangan jurang pembangunan.

“Kita mahu melihat anak-anak Sibu yang berhijrah pulang menyumbang kepakaran mereka di tanah kelahiran. Kita juga mahu sektor makanan, logistik, penjagaan kesihatan, ekonomi digital dan industri bernilai tinggi berkembang pesat di Sibu,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata, visi kerajaan ialah menjadikan Sibu sebagai pusat pertumbuhan utama di Zon Tengah Sarawak sekali gus simbol pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, berkata kemerdekaan pada hari ini bukan sahaja bermaksud bebas daripada penjajahan, malah bebas daripada kemiskinan, pengangguran, penghijrahan bakat serta ketidakseimbangan pembangunan.

Penubuhan SEZ itu diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu baru-baru ini.

Untuk permulaan, Abang Johari memperuntukan RM1.5 bilion dalam belanjawan negeri yang baharu untuk SEZ Sibu.

Bagi usahawan tempatan, Dr Gregory Hii Sui Cheng pengumuman SEZ itu memberi sinar baharu kepada masa depan Sibu yang menurutnya agak ketinggalan berbanding Kuching, Bintulu dan Miri dari segi pembangunan ekonomi sepanjang dua dekad lepas. 

Beliau berkata peruntukan awal RM1.5 bilion yang diumumkan kerajaan negeri diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Sibu, khususnya dalam sektor pelancongan, perkhidmatan, makanan dan perhotelan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan usaha itu perlu disokong dengan jaringan penerbangan lebih baik, termasuk mengembalikan laluan penerbangan terus Sibu-Kota Kinabalu menerusi syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo.

Sementara itu wartawan tempatan, Borhaniza Ali Basah berharap segala perancangan pembangunan untuk Sibu diteruskan secara konsisten tanpa mengira perubahan kepimpinan demi menjamin masa depan generasi muda.

Beliau berkata lebih banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan supaya anak muda tidak lagi terpaksa berhijrah ke bandar lain atau ke luar negeri untuk mencari rezeki.

“Dengan adanya lebih banyak peluang pekerjaan di Sibu, lebih ramai anak muda boleh membina kerjaya di kampung halaman sendiri. Ia bukan sahaja mengukuhkan institusi keluarga malah membantu rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.

Hari Sarawak 2026 akan disambut pada 22 Julai dengan Sibu dipilih sebagai tuan rumah sambutan peringkat negeri yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Julai.

Sambutan bertemakan “Sarawak Maju Makmur, Segulai Sejalai” itu bakal diisi dengan pelbagai program yang menonjolkan semangat perpaduan, kepelbagaian budaya dan sejarah pemerintahan sendiri Sarawak yang mula dinikmati pada 22 Julai 1963. – Bernama