
KUCHING: Setiap permohonan pertukaran dan penempatan guru perlu diteliti dengan penuh tanggungjawab, berhemah serta mengambil kira aspek kemanusiaan dan kebajikan guru.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata semua pegawai yang terlibat dalam proses penyelarasan tersebut perlu sentiasa mempunyai rasa empati dalam membuat pertimbangan terhadap setiap permohonan yang dikemukakan.
“Proses pertukaran guru bukan sekadar urusan pentadbiran semata-mata, malah melibatkan harapan, pengorbanan, kesejahteraan keluarga dan masa depan para pendidik.
“Setiap permohonan yang diterima mempunyai cerita dan latar belakang tersendiri.
“Oleh itu, kita perlu melihatnya dengan hati yang terbuka, penuh empati dan pertimbangan yang sewajarnya agar harapan serta doa guru-guru yang memohon dapat ditunaikan atau dimakbulkan sebaik mungkin,” katanya dalam amanat pada Bengkel Kerja Penyelarasan Guru Antara Daerah Sesi Jun 2026 di Sibu.
Bengkel itu melibatkan pegawai-pegawai pendidikan serta urus setia berkaitan pengurusan sumber manusia pendidikan di Sarawak.
Kenyataannya itu dimuat dalam laman Facebook Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.
Menurut Omar lagi, kesejahteraan guru merupakan antara agenda penting dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang memberi fokus kepada pemerkasaan profesion keguruan, keseimbangan kebajikan serta peningkatan motivasi warga pendidik demi memastikan penyampaian pendidikan yang berkualiti kepada murid.
Katanya, guru yang sejahtera dari aspek emosi, keluarga dan tempat bertugas akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan negeri dan negara.
Bengkel kerja itu turut menjadi platform penyelarasan dasar, semakan keperluan opsyen serta perbincangan berkaitan penempatan guru secara strategik bagi memastikan pengagihan sumber manusia pendidikan di Sarawak dilaksanakan secara adil, efektif dan berimpak tinggi.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan guru selaras dengan aspirasi pendidikan negara serta agenda kesejahteraan warga pendidik.