
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah mengadakan sesi dialog bersama agensi pelaksana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong, hari ini.
Katanya, tujuan sesi dialog adalah untuk mengetahui status pelaksanaan projek RTP yang telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak.
“Ada projek RTP yang terlambat dilaksanakan kerana terdapat pelbagai urusan projek di bawah agensi masing-masing.
“Saya berharap proses kerja harus dipercepatkan kerana sudah pertengahan tahun dan cabutan undi harus dipercepatkan kerana khuatir ia tidak sempat disiapkan pada hujung 2025,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Meradong.
Tambahnya, dengan siapnya pelaksanaan projek RTP, ia akan memberi keselesaan dan manfaat kepada para pengguna amnya rakyat di kawasan DUN Meradong.
“Selain itu, ia turut berperanan penting untuk memastikan pembangunan infrastruktur diteruskan.
“Segala jalinan kerjasama antara semua agensi pelaksana haruslah diteruskan agar projek RTP di kawasan DUN Meradong berjalan lancar dan mengikut spesifikasi projek yang telah dicadangkan,” katanya.
Beliau turut mendengar penerangan daripada wakil Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sarikei, Ling Kah Wei berkenaan isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di kawasan Batu 5, Jalan KJD Bintangor.
Koung Hiing berharap pihak JBALB akan menyelesaikan isu gangguan bekalan air tersebut.
Oleh Earl Anek