
MANILA: Insiden tembakan di Sekolah Menengah Kebangsaan San Jose di Bandar Tacloban, wilayah Eastern Visayas di tengah Filipina, yang mengorbankan tiga pelajar, dipercayai dirancang lebih sebulan oleh dua suspek yang kedua-duanya masih bawah umur, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) memetik polis.
Ketua Polis Eastern Visayas Brigedier Jeneral Jason Capoy berkata siasatan mendapati suspek berusia 14 dan 15 tahun itu merancang serangan berkenaan sejak April atau Mei lalu.
“Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, mereka telah merancangnya sejak April atau Mei. Jika saya tidak silap, seawal 1 Mei mereka sudah mula merancang serangan itu,” katanya dalam temu bual telefon dengan wartawan di Camp Crame.
Capoy berkata tiga pelajar, iaitu dua perempuan dan seorang lelaki maut dalam serangan itu.
Beliau berkata 15 pelajar mengalami kecederaan akibat tembakan, manakala lima lagi cedera ketika cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan yang tular dalam talian bahawa kedua-dua suspek telah merancang cara membawa masuk senjata api ke kawasan sekolah serta menyedari peruntukan di bawah Akta Keadilan dan Kebajikan Juvenil Republik 9344.
Menurut penyiasat, kebanyakan peluru yang dilepaskan dalam serangan itu datang daripada sepucuk pistol Glock 9mm milik seorang pegawai polis yang merupakan ibu saudara kepada seorang daripada suspek.
Capoy turut berkata seorang daripada suspek yang berusia 14 tahun dilaporkan taksub dengan permainan mudah alih dikenali sebagai GoreBox, yang dikatakan memaparkan unsur keganasan dan penggunaan senjata api.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Filipina Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr. mengarahkan penyiasat membina kes yang kukuh terhadap mana-mana individu yang mungkin membantu atau membolehkan kedua-dua remaja itu memperoleh akses kepada senjata api yang digunakan dalam serangan berkenaan. – Bernama