


MORIOKA (Jepun): Siri serangan beruang yang berterusan di timur laut Jepun menyebabkan pelancong menjauhkan diri daripada kawasan itu, sekali gus menjejaskan perniagaan tempatan pada musim luruh, lapor Agensi Berita Kyodo.
Di Tohoku, tempahan hotel di kawasan peranginan air panas menurun dengan ketara, manakala akses awam sering dihadkan selepas beruang dilihat berkeliaran.
Pihak berkuasa tempatan turut memberi amaran kepada pengunjung agar lebih berwaspada terhadap kemungkinan terserempak dengan haiwan liar itu.
Dengan tiada tanda-tanda kemasukan pelancong akan kembali seperti tahun-tahun sebelumnya, perniagaan yang bergantung pada kedatangan pelancongan pada musim luruh kini berdepan masa depan tidak menentu.
Di kawasan Gembi, bandar Ichinoseki, wilayah Iwate, seorang lelaki ditemukan mati di luar rumahnya pada akhir Oktober selepas diserang beruang.
Seorang pengurus pusat pelancongan yang menjual barangan kaca berkata bilangan pelawat semakin berkurangan, sebahagiannya disebabkan kejadian serangan itu.
Di Kitakami, seorang pekerja hotel lelaki maut diserang beruang ketika membersihkan kolam mandi terbuka pada pertengahan Oktober.
Motoyugeto, sebuah penginapan gaya Jepun yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari hotel itu, melaporkan kira-kira 20 peratus tempahan dibatalkan selepas kejadian, manakala kunjungan harian untuk menggunakan kolam mandi menurun sehingga 70 peratus pada sesetengah hari.
“Insiden ini berlaku pada waktu kemuncak — benar-benar memberi kesan besar kepada kami,” kata wakil penginapan itu, Hironori Takahashi.
Beberapa perniagaan air panas di wilayah itu juga menutup bahagian kolam mandi terbuka mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Sejak April, Iwate mencatatkan lima kematian akibat serangan beruang iaitu jumlah tertinggi yang pernah direkodkan di wilayah itu, daripada 13 kematian di seluruh negara setakat Rabu lalu, menyebabkan ramai pengunjung memilih untuk tidak datang ke kawasan berkenaan.
Menurut Kyodo, empat orang maut akibat serangan beruang di wilayah Akita sejak April, manakala wilayah Miyagi juga mencatat satu kematian pada awal Oktober.
Walaupun begitu, sebilangan pelancong asing masih mengunjungi jurang Narukokyo di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Miyagi-Yamagata.
Majlis perbandaran Osaki telah memasang papan tanda “Awas Beruang” dalam empat bahasa termasuk Inggeris dan Korea, serta meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan itu.
“Kami mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan semua pelawat tanpa mengira kewarganegaraan mengenai risiko beruang,” kata seorang pegawai bandar.- Bernama-Kyodo