Sepanyol musnahkan impian perpisahan Messi

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Ferran Torres muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan untuk membawa Sepanyol menewaskan juara bertahan, Argentina, 1-0 pada final Piala Dunia, sebentar tadi, sekali gus memusnahkan impian Lionel Messi menutup tirai kariernya di pentas bola sepak paling berprestij dengan penuh gemilang.

Penyerang Barcelona itu meledak gol kemenangan pada minit ke-106 menerusi rembatan padu, sekali gus melengkapkan aksi cemerlang Sepanyol yang menguasai permainan ketika Argentina gagal menghasilkan walau satu percubaan tepat ke gawang sepanjang 120 minit perlawanan.

Seramai 80,663 penonton, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memenuhi Stadium MetLife di East Rutherford bagi menyaksikan sama ada kapten Argentina, Messi, mampu menutup karier gemilangnya dengan kejuaraan Piala Dunia kedua.

Namun, pemain berusia 39 tahun itu, yang hampir pasti tampil dalam perlawanan Piala Dunia terakhirnya, tenggelam daripada permainan apabila Sepanyol menguasai aksi sejak awal berdepan Argentina yang berulang kali melakukan kekasaran taktikal.

Aksi keras pasukan Amerika Selatan itu memuncak apabila pemain tengah, Enzo Fernandez, dilayangkan kad merah pada masa kecederaan selepas terjahan keras terhadap pertahanan Sepanyol, Pau Cubarsi.

Sebelum itu, Argentina dilihat seakan-akan mampu mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti apabila Sepanyol gagal memecah kebuntuan meskipun menguasai permainan.

Namun, selepas jaringan Nico Williams dibatalkan dalam situasi kontroversi pada masa tambahan, Sepanyol akhirnya menemui gol kemenangan.

Hantaran lintang Pedro Porro ke tiang jauh disambut tandukan Williams ke arah Torres sebelum penyerang itu merembat masuk untuk menghadiahkan kejuaraan Piala Dunia kedua buat Sepanyol selepas kejayaan sulung pada 2010.

Tanda-tanda kekecewaan Argentina mula kelihatan seawal minit ke-15 apabila Alexis Mac Allister melakukan terjahan dengan tapak kasut mengenai buku lali Dani Olmo.

Mac Allister bagaimanapun terlepas daripada amaran awal apabila pengadil dari Slovenia, Slavko Vincic, hanya menghadiahkan sepakan percuma.

Beberapa minit kemudian, pemain Sepanyol, Alex Baena, pula menolak Messi menggunakan siku dari belakang, namun insiden itu juga tidak dikenakan sebarang tindakan

Argentina terus menguji kesabaran Vincic menerusi beberapa terjahan keras, dengan Nicolas Tagliafico bernasib baik apabila tidak dilayangkan kad selepas mengasari betis Lamine Yamal.

Separuh masa berat sebelah

Sepanyol terus mengasak, namun percubaan rendah Mikel Oyarzabal pada minit ke-39 mudah dipatahkan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Akhirnya, Vincic mengeluarkan kad kuning apabila Lisandro Martinez mengasari Oyarzabal secara sengaja.

Lisandro kemudian dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan Nicolas Otamendi.

Persembahan hiburan kontroversi selama 27 minit pada waktu rehat yang menampilkan Madonna, Shakira dan Justin Bieber tidak sedikit pun menjejaskan rentak permainan Sepanyol.

Skuad kendalian Luis de la Fuente terus menguasai babak kedua, manakala Argentina hanya bertahan bagi mengekang asakan lawan.

De la Fuente memasukkan Pedri dan Ferran Torres menggantikan Fabian Ruiz serta Oyarzabal, sekali gus meningkatkan lagi tekanan ke atas Argentina.

Yamal melepasi kawalan lawan sebelum menghantar bola kepada Torres, namun tandukan penyerang itu berjaya diselamatkan Emiliano Martinez.

Pedri dan Cubarsi turut menguji Martinez dengan rembatan jarak jauh, tetapi penjaga gol Argentina itu terus menjadi benteng terakhir pasukannya.

Kemasukan Nico Williams dan Mikel Merino pula menyuntik tenaga baharu kepada jentera serangan Sepanyol yang terus mengasak tanpa henti.

Fernandez dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil pada minit ke-82, sebelum Torres dan Rodri turut menguji Martinez menerusi percubaan dari luar kotak penalti

Pada masa kecederaan, Fernandez dibuang padang selepas terjahan keras terhadap Cubarsi, menyebabkan Argentina menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Martinez kemudian sekali lagi menyelamatkan gawangnya apabila menepis sepakan percuma menarik Yamal pada penghujung masa sebenar.

Sepanyol terus mendominasi permainan pada masa tambahan. Williams hampir membuka jaringan menerusi tandukan, namun sekali lagi Martinez cemerlang menafikan percubaan itu.

Tidak lama kemudian, Williams menyangka beliau sudah menjaringkan gol selepas menyudahkan hantaran dari jarak dekat, tetapi jaringan itu dibatalkan pengadil kerana mendapati berlaku kekasaran kecil terhadap Otamendi.

Namun, kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-106 apabila Torres menyempurnakan peluang hasil gerakan Williams dan Porro.

Argentina cuba melancarkan serangan terakhir untuk mencari gol penyamaan, namun benteng La Roja kekal ampuh sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus mengesahkan Sepanyol sebagai juara dunia. – AFP