
MADRID, Sepanyol: Sepanyol, antara beberapa lokasi di dunia yang akan menyaksikan gerhana matahari penuh pada Ogos, telah memulakan persiapan bagi acara tersebut yang diharap dapat mengalihkan tumpuan pelancongan daripada pantai ke kawasan luar bandar.
Selain Sepanyol, gerhana matahari penuh itu turut dapat dilihat di Greenland, Iceland, Rusia dan sebahagian kecil Portugal, manakala gerhana separa dijangka berlaku di beberapa bahagian Eropah serta Afrika Barat.
Kerajaan Sepanyol dalam satu kenyataan semalam berkata bahawa Semenanjung Iberia “akan menjadi satu-satunya kawasan berpenduduk di dunia yang dapat menikmati sepenuhnya gerhana matahari penuh pada 12 Ogos, yang pertama seumpamanya dapat disaksikan di negara itu dalam tempoh lebih 100 tahun.”
Pada kemuncaknya, apabila bulan menutupi sepenuhnya matahari sehingga menggelapkan langit pada waktu siang, fenomena itu akan berlangsung selama sedikit lebih dua minit di Sepanyol.

Kerajaan turut memaklumkan bahawa Balai Cerap Yebes di wilayah tengah Guadalajara — nod penting dalam rangkaian astronomi radio global telah dipilih sebagai pusat pemantauan rasmi gerhana tersebut.
Ia akan menjadi yang pertama daripada tiga gerhana besar yang akan dialami Sepanyol antara 2026 hingga 2028.
Pada 2 Ogos 2027, gerhana matahari penuh kedua dengan tempoh luar biasa selama enam minit akan merentasi selatan Sepanyol, manakala gerhana anulus — apabila bulan tidak menutupi matahari sepenuhnya sehingga membentuk cincin cahaya dijangka berlaku pada Januari 2028.
Harga penginapan turut melonjak di kawasan yang akan dilalui gerhana penuh itu, meskipun bukan destinasi pelancongan musim panas utama.
Carian penginapan pada Khamis di bandar timur laut Teruel bagi malam 12 Ogos menunjukkan harga antara sekitar 300 euro (AS$351) bagi hostel sederhana hingga 1,400 euro bagi apartmen sewaan persendirian.
Di Burgos, tiada penginapan ditawarkan pada harga di bawah 600 euro, manakala sebuah apartmen seluas 60 meter persegi disenaraikan pada harga 5,000 euro.
Pejabat pelancongan Teruel telah mempromosikan bandar itu sebagai lokasi ideal untuk menyaksikan gerhana, dengan merujuk kepada landskap terbuka, langit cerah dan tahap pencemaran cahaya yang rendah. – AFP