
BERLIN: Seorang lelaki yang sedang menunggu di perhentian trem di timur laut Berlin maut apabila dua kereta berlanggar dan merempuh perhentian itu semalam, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik polis dan bomba.
Lelaki itu maut selepas dihempap tiang yang tumbang akibat dilanggar oleh salah sebuah kereta yang terlibat dalam insiden itu, kata jurucakap polis dan bomba.
Empat lagi cedera dalam kemalangan di perhentian Greifswalder Strasse di kawasan Prenzlauer Berg, Berlin, termasuk pemandu kereta berkenaan, kata jurucakap polis.
Sebuah kereta yang sedang melalui Greifswalder Strasse, sebuah jalan utama yang sibuk menuju ke pusat bandar, telah bertembung dengan sebuah lagi kereta pada kira-kira 10.10 pagi (0810 GMT). Impak perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kereta terhumban ke kawasan perhentian trem.
Sekurang-kurangnya dua orang mengalami kecederaan serius dalam nahas itu dan telah dimasukkan ke hospital, kata jurucakap polis.
Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai identiti mangsa. Pakar kaunseling turut memberikan sokongan kepada saksi kemalangan.
Perkhidmatan trem ke pusat bandar dihentikan sementara. – Bernama