Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Sentuhan seni laut dalam bingkai, jadi karya eksklusif
  • RENCANA

Sentuhan seni laut dalam bingkai, jadi karya eksklusif

Utusan Sarawak 9 hours ago
DARIPADA sekadar mencari ketenangan di tepi pantai, Mohamed Hafiz Mohamed Zulzaini kini menterjemahkan deruan ombak dan keindahan laut ke dalam karya resin yang memukau. Pemuda dari Kota Tinggi, Johor itu menghasilkan setiap karya dengan teliti melalui beberapa lapisan bagi mencipta ilusi ombak yang realistik, lengkap dengan elemen pasir dan batu seakan-akan suasana pantai sebenar. Kini, hasil sentuhannya bukan sahaja menjadi terapi buat dirinya, malah turut memberi ketenangan kepada pelanggan serta berkembang sebagai sumber pendapatan sampingan. Foto BERNAMA

KETENANGAN deruan ombak dan hamparan laut membiru yang pada awalnya sekadar meredakan tekanan emosi, kini menjadi sumber inspirasi  seorang pemuda untuk menghasilkan karya resin bertemakan alam semula jadi.

Menceburi dunia seni itu sejak tiga tahun lepas, Mohamed Hafiz Mohamed Zulzaini tidak menyangka karya resin berasaskan bahan cecair epoksi bagi menghasilkan ilusi ombak laut yang realistik sehingga mendapat sambutan sangat menggalakkan dalam kalangan pencinta seni. 

Kini aktif berkongsi karyanya menerusi platform TikTok, ‘Resin Art Ocean’, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata hubungan rapatnya dengan laut telah lama wujud dan menjadi sumber ketenangan buatnya khususnya ketika berdepan dengan masalah keresahan mahupun kemurungan. 

DARIPADA sekadar mencari ketenangan di tepi pantai, Mohamed Hafiz Mohamed Zulzaini kini menterjemahkan deruan ombak dan keindahan laut ke dalam karya resin yang memukau. Foto BERNAMA

“Sebelum saya buat seni ini, saya ada anxiety dan depression…jadi saya banyak meluangkan masa menikmati suasana laut di pantai dan mendengar deruan ombak kerana tempat sebegitu seumpama terapi kepada diri saya.

“Apabila nampak satu karya resin bertemakan laut di Instagram (artis) dari Australia, saya mula tertarik untuk mencuba,” katanya.

Pemuda 29 tahun ini yang bekerja sebagai penghasil warna untuk dakwat pencetakan dan menjadikan platform seni itu sebagai pendapatan sampingan berkata karya seni berasaskan resin itu hanya dipelajarinya sendiri melalui YouTube selepas beberapa kali gagal dalam pelbagai cabang seni lain. 

Berkongsi cerita lebih lanjut, Mohamed Hafiz berkata beliau sebelum ini pernah mencuba melukis mahupun menghasilkan figura anime dengan menggunakan tanah liat kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang seni sejak zaman sekolah, namun usahanya itu tidak bertahan lama. 

DARIPADA sekadar mencari ketenangan di tepi pantai, Mohamed Hafiz Mohamed Zulzaini kini menterjemahkan deruan ombak dan keindahan laut ke dalam karya resin yang memukau. Foto BERNAMA

“Saya pernah melukis di sekolah ketika mengambil aliran seni tetapi selepas masuk dunia pekerjaan, kemahiran makin kurang. Saya cuba kembali melukis, namun hanya separuh jalan. Lepas itu, saya hasilkan figura anime menggunakan tanah liat tetapi tidak juga berhasil,” katanya.

Tidak mudah putus asa sehingga akhirnya menemukan kecenderungan dalam seni resin yang kini menjadi fokus utamanya, pemuda ini berkata produk yang dihasilkannya pada awalnya berskala kecil seperti rantai kunci, penanda buku, sarung telefon sebelum beralih kepada karya berbentuk bingkai dinding. 

Menurutnya, untuk menghasilkan karya resin bertemakan laut yang kemudiannya dibingkaikan itu perlu melalui beberapa peringkat lapisan resin, bermula dengan  warna asas, diikuti pembentukan ombak dan kemasan akhir bagi menghasilkan kesannya lebih hidup.

“Saya gunakan bahan seperti pasir silika dan batu supaya hasilnya lebih realistik, macam suasana pantai sebenar. Ada juga saya tambah elemen lain seperti ikan pari, bot kecil atau penyu untuk mencantikkan lagi karya tersebut,” katanya.

Pembentukan ombak merupakan antara bahagian paling mencabar untuk dibentuk dan sejak menceburi bidang itu, Mohamed Hafiz berkata telah menerima lebih 200 tempahan dengan setiap karya dijual antara  RM200 hingga RM3,000 bergantung pada saiz dan reka bentuk diinginkan. 

“Kebanyakan, respons rasa tenang, macam ‘healing’ tepi pantai. Itu yang buat saya rasa apa dihasilkan itu memberi makna,” katanya dan berharap dapat membuka galeri dan bengkel sendiri bagi memperluaskan lagi penghasilan karya itu serta memperkenalkan seni resin kepada masyarakat.- Bernama

Continue Reading

Previous: Meneroka keindahan langit malam, kehebatan teknik zoom super-telephoto
Next: Kemas almari baju jadi lubuk rezeki

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.