
SIMANGGANG: Semua lapisan masyarakat, agensi kerajaan dan sektor swasta diseru agar terus berganding bahu dalam memperkukuh pembangunan belia di Bahagian Sri Aman dengan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada pihak sekolah dan warga pendidik.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, usaha membentuk generasi muda yang berdaya saing memerlukan komitmen menyeluruh daripada ibu bapa, komuniti serta pemimpin masyarakat bagi memastikan golongan itu mendapat bimbingan dan sokongan yang berterusan.
Menurut beliau, setiap pihak mempunyai peranan penting dalam menyediakan ruang, peluang dan persekitaran yang kondusif supaya anak-anak muda dapat mengembangkan bakat, membina keyakinan diri serta mencorakkan masa depan yang lebih cemerlang.
“Jangan biarkan sekolah bergerak sendirian. Jangan biarkan guru memikul tanggungjawab ini tanpa sokongan. Jangan biarkan anak-anak muda mencari arah mereka seorang diri kerana kita semua mempunyai peranan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Sri Aman Kali Ke-60 Tahun 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, di sini, kelmarin.
Dalam ucapannya, Harden turut menegaskan bahawa anak-anak dari kawasan luar bandar memiliki potensi besar untuk mencipta kejayaan meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan kemudahan dan jarak perjalanan yang jauh ke lokasi latihan.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, pengalaman telah membuktikan ramai atlet luar bandar mampu mengharumkan nama daerah dan negeri hasil disiplin, semangat juang serta kesungguhan apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.
Beliau berkata, kejayaan pembangunan belia perlu disokong oleh ekosistem yang menyeluruh melalui penyediaan kemudahan sukan, penganjuran pertandingan secara konsisten serta bimbingan berterusan daripada guru, jurulatih, ibu bapa dan masyarakat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, pegawai kejohanan, sukarelawan serta individu yang bertungkus-lumus di belakang tabir sehingga Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Sri Aman Kali Ke-60 berjaya dianjurkan dengan lancar.
Menurutnya, kekuatan sebenar Sri Aman terletak pada semangat kebersamaan masyarakat yang sentiasa saling membantu dan percaya bahawa kejayaan anak-anak merupakan kejayaan seluruh komuniti.
Beliau berharap semangat itu terus diperkasakan bagi melahirkan generasi muda yang sihat, berakhlak, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan Sri Aman, Sarawak dan negara.
Kejohanan selama lima hari itu menghimpunkan penyertaan tujuh sekolah menengah iaitu SMK Engkilili, SMK Lubok Antu, SMK Sri Aman, SMK Saint Luke, SMK Simanggang, SMK Melugu dan SMK Lingga, selain lapan zon sekolah rendah iaitu Zon Lubok Antu, Zon Lingga, SJKC Chung Hua Simanggang, Zon Engkilili, Zon Pantu, Zon Sri Aman, Zon Undop dan SK Abang Aing.
Bagi kategori sekolah menengah, SMK Engkilili muncul juara keseluruhan selepas meraih 34 pingat emas, 34 perak dan 27 gangsa, diikuti SMK Lubok Antu di tempat kedua dengan kutipan 29 emas, 32 perak dan 24 gangsa, manakala SMK Sri Aman menduduki tempat ketiga dengan 16 emas, 20 perak dan 24 gangsa.
Dalam kategori zon sekolah rendah pula, Zon Lubok Antu dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan 22 emas, 17 perak dan tujuh gangsa, diikuti Zon Lingga selaku naib juara dengan enam emas, empat perak dan enam gangsa, manakala SJKC Chung Hua Simanggang berada di tempat ketiga selepas mengumpul enam emas, dua perak dan enam gangsa.
Pada majlis sama, Harden turut menyampaikan cek Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM290,000 kepada 17 pertubuhan sekolah di Bahagian Sri Aman bagi membiayai pelbagai program yang akan dilaksanakan di sekolah masing-masing.
Oleh Adi Safarman