Otak bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengawal setiap pergerakan dan memastikan kehidupan kita terkawal, tetapi juga bertanggungjawab mengawal tindak balas kognitif, reseptor deria, malahan untuk mengingati hari ulang tahun ahli keluarga anda.
Kesihatan otak sama pentingnya dengan kemampuan kita untuk berfikir, bertindak dan hidup dengan baik. Kesihatan otak mengurangkan faktor risiko, memastikan minda anda aktif dan memastikan otak anda sihat apabila anda semakin tua.
Pakar Neurologi Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr. Kok Chin Yong mengesyorkan kaedah SEMMMS yang merupakan beberapa langkah untuk mencegah penyakit di bahagian otak dan untuk memastikan otak sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Pengertian SEMMMS adalah tidur (sleep), bersenam secara kerap (exercise), mengawal penyakit anda (medical illness under control), meditasi (meditation), diet MIND ( MIND diet) dan aktif dari segi sosial (socially active).
Mengulas mengenai kepentingan tidur, Dr. Kok berkata ia adalah kunci kesihatan. Banyak kajian menunjukkan tabiat tidur yang lemah boleh menyebab atau mempercepat penurunan kognitif.
“Dua kajian susulan yang dilakukan di Sepanyol dan Iceland menunjukkan orang tua yang menghidapi insomnia lebih berisiko mengalami penyakit Alzheimer (AD) dan tidur yang terlalu sedikit boleh mencetuskan migrain,” kata beliau.
Kata beliau, ‘sleep hygiene’ adalah kunci untuk tidur malam yang baik. Ini termasuk mengelakkan alat yang memancarkan cahaya selama satu hingga dua jam sebelum tidur, mengelak sebarang aktiviti lain kecuali tidur di atas katil, tidak mengambil kafein selepas jam 3 petang dan tidak mengambil makanan berat atau melakukan senaman berintensiti tinggi pada waktu malam.
Sementara itu senaman atau gaya hidup aktif pula memang terbukti memberi manfaat kepada kesihatan otak.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sangat menyarankan untuk mengamalkan gaya hidup aktif kerana ia sangat bermanfaat untuk mengurangkan risiko demensia.
“Fizikal yang tidak aktif boleh mengundang penyakit strok. Kita perlu menetapkan matlamat untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 40 minit, tiga kali seminggu,” kata beliau.
Memastikan penyakit terkawal juga penting. Sebagai contoh, tekanan darah tinggi adalah salah satu faktor risiko untuk menghidap strok.
“Oleh itu, adalah penting untuk mengawal tekanan darah anda. Hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan perubahan pada saluran darah kecil pada otak, yang seterusnya akan menyebabkan anda berisiko mengalami strok dan demensia di kemudian hari,” ujar beliau.
Mereka yang menghidap diabetes pula mesti berdisiplin untuk rawatan susulan kerana mereka berisiko tinggi menghidap hipertensi dan kolesterol tinggi, di mana kedua-duanya memerlukan pengambilan ubat tepat pada masanya.
Mengenai kaedah meditasi pula, beliau berkata amalan ini boleh mengurangkan serangan berulang kemurungan dan ketagihan.
Kata beliau, kajian oleh Beth Israel Deaconess Medical Centre baru-baru ini menunjukkan meditasi memainkan peranan yang penting untuk memperlahan pengembangan demensia yang berkaitan dengan Alzheimer.
Justeru, sekiranya diamalkan secara berkala, meditasi boleh membantu menenangkan fikiran seseorang, mengurangkan kegelisahan dan membantu mengurangkan tekanan.
Seterusnya adalah diet MIND yang bermaksud Mediterranean-DASH untuk penundaan Neurodegeneratif dan merupakan gabungan kedua-dua diet Mediterranean dan DASH.
Diet ini terdiri daripada sayur-sayuran hijau, sayuran berdaun, bijirin, beri, minyak zaitun, ayam, ayam belanda dan ikan.
Kajian Epidemiologi menunjukkan diet ini dapat melambatkan penuaan otak sekitar 7.5 tahun dan mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.
Tabiat pemakanan yang buruk seperti pengambilan garam yang tinggi dan kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh menyumbang kepada peningkatan kecacatan akibat penyakit kardiovaskular dan strok.
Langkah terakhir yang disarankan oleh Dr. Kok adalah aktif dari segi sosial kerana ia mampu mengurangkan risiko mengalami demensia.
“Interaksi sosial tidak terhad kepada perbualan secara bersemuka sahaja. Kita juga boleh berinteraksi melalui perbualan telefon, emel ataupun panggilan video, selain
membentuk rangkaian sokongan yang baik bagi membantu mengurangkan kemurungan dan kegelisahan,” tambah beliau.
Menurut Dr. Kok, strok merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemik, yang berlaku apabila bekalan darah ke otak tersekat atau berkurang kerana darah beku dan Strok Hemoragik, yang berlaku apabila arteri otak pecah dan menyebabkan pendarahan.
Rawatan trombolosis strok hiperakut, iaitu rawatan yang berpotensi mengembalikan peredaran darah pada pesakit Strok Iskemik ini paling berkesan jika dilakukan pada tahap awal pengesanan strok.
Setiap saat sangat berharga ketika merawat pesakit strok. Dalam kebanyakan kes, pesakit strok dikaitkan dengan faktor yang tidak boleh diubah seperti umur dan sejarah keluarga. Faktor yang boleh diubah ialah sejarah perubatan, gaya hidup dan pemilihan diet.
Pesan Dr. Kok, sekiranya anda mengalami gejala strok seperti masalah keseimbangan, perubahan pada tahap penglihatan, lemah di bahagian muka atau lengan, atau kesukaran untuk bercakap, pastikan untuk memberitahu orang terdekat dengan anda dan segera hubungi hospital atau pusat perubatan.
“Ingatlah, setiap detik sangat berharga. Amalkan SEMMMS, dan jaga kesihatan otak anda setiap masa!
Oleh Haini Darani