Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Semiotika dan Logika dalam “Meracau Sepi”
  • WBS

Semiotika dan Logika dalam “Meracau Sepi”

Utusan Sarawak 11 hours ago

CERPEN “Meracau Sepi” (MS) oleh Marilyn Albert Matu karya kedua Marilyn yang dicakna oleh saya setakat ini. Setelah karya sebelumnya, “Pengaruh Dimensi Silang” (PDS) saya dapati Marilyn seorang pengkarya yang cenderung menganut aliran pascamodenisme dalam penulisannya. 

Meskipun banyak perbezaan dari segi alur cerita, watak, latar, langgam dan bentuk naratifnya, namun gema aliran pascamodenisme kekal dianuti dalam MS.

Walaupun MS meninggalkan eksistensialisme, realisme magis dan surealisme sebagaimana dalam PDS, namun gema dan aura pascamodenisme masih membumbui MS.

MS mengheret khalayak dalam ruang lingkup dan latar yang sempit, iaitu rumah agam, di dalam almari, di dalam kereta dan di Pusat Kitar Semula yang memperlihatkan kelainan dengan PDS yang latarnya luas, misteri dan fantasi, manakala plotnya agresif, rencam dan antikronologis.

MS dimulai dengan teknik penceritaan sudut pandangan orang ketiga, iaitu penggunaan kata ganti nama ‘dia” dan perlahan-lahan berpindah kepada sudut pandangan orang pertama menerusi penggunaan kata ganti nama “ku” (aku) dan “saya”.

Kadang-kadang terkesan sudut pandangan orang kedua, iaitu “tuan”. Tindakan ini tidak menjejaskan alur penceritaan. Alur peristiwa dalam MS bersifat lurus, santai, kronologis, sederhana dan bersahaja serta memberi ketenangan ketika dihayati selain memanifestasikan kelainan yang ketara daripada alur PDS yang  antikronologis dan rencam.

Walaupun santai, namun Marilyn memperlihatkan kekuatan dalam menyampaikan pemikiran, mesej dan nilai secara remang-remang dengan menggunakan ikon, indeks dan simbol dengan stail yang  penuh siratan dan gaya tersendiri.

Marilyn menggunakan lambang-lambang dengan signifikan sehingga menggugah rasa dan memberikan impak terhadap pemikiran dan mesej.

Marilyn membuat anjakan paradigma dalam MS menerusi pelarian dalam pembinaan watak dengan memberikan “nyawa” kepada watak sebuah bagasi (bagasi mahal dan bagasi murah).

Watak dalam MS juga terhad (Tuan, bagasi mahal, bagasi murah dan wanita baru), tidak seperti PDS dengan kepelbagaian dan kerencaman jenis watak dan makhluk. Watak bagasi merupakan analogi dan imej bagi menyampaikan pemikiran dan mesej untuk dicakna oleh khalayak.

Penggunaan analogi amat sinonim dengan metafora, iaitu pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan atau sebagai perbandingan dan kiasan.

Makna lapisan pertama mengandungi makna harfiah, manakala makna lapisan kedua membawa makna metafora sebagaimana dalam cerpen MS yang sarat dengan penggunaan analogi, imej dan simbol. Justeru, cerpen MS wajar diteliti dengan menggunakan Teori Semiotik.

Mana Sikana (2009) menjelaskan bahawa Teori Semiotik  mengidentifikasikan lambang yang diklasifikasikan kepada tiga jenis, iaitu ikon, indeks dan simbol.

Ikon ialah tanda yang merujuk terus kepada objek yang digambarkan atau dibawa oleh objek dengan subjek. Ikon berasal daripada perkataan Latin yang bermakna bayang, bayangan, mirip, kemiripan, keserupaan, replika, analogi dan sebagainya.

Indeks ialah tanda yang merujuk kepada sesuatu benda yang mengumpulkan satu atau beberapa fenomena, sebab musabab, simptom, isyarat, ikatan dan sebagainya.

Indeks lebih luas dan kompleks. Contohnya menerusi penggunaan aforisme, alegori, personifikasi, hiperbola dan imaginari.

Simbol ialah penjenisan lambang-lambang yang merujuk kepada objek asal. Simbol juga merujuk kepada sebuah tanda yang dibawa oleh penanda dengan memberi petanda yang merujuk kepada erti/makna/konsep yang mewakili sesuatu.

Simbol diteliti berdasarkan lambang ikonik seperti imej, citra, diagram, simile dan metafora dalam teks. Sara Beden (2022) menyimpulkan bahawa simbol ialah penjenisan lambang-lambang yang merujuk kepada sebuah tanda yang dibawa oleh penanda dengan memberi petanda yang merujuk kepada erti, makna dan  konsep.

Pengumpulan lambang-lambang dalam sesebuah karya mengambil kira tanda-tanda yang digunakan dengan signifikan oleh pengarang dalam usaha pengarang menyampaikan pemikiran, subjek-subjek dan mesej kepada khalayak.

Pengintepretasian makna mengambil kira aspek dalaman teks agar tafsiran lebih tepat dan relevan dengan makna yang hendak disuguhkan oleh pengarang.

Semiotik lazimnya dikaitkan dengan Teori Semiotik (Ferdinand de Saussure, Charles Sander Peirce dan Umberto Eco) dan bersinonim dengan semiotika yang bererti tanda yang mengkaji tentang makna.

Segala sesuatu yang dapat diamati disebut tanda dan tidaklah terbatas pada benda (peristiwa,  struktur, idea dan watak).

Semiotika pada dasarnya bekerja untuk memaknai perkara yang tidak dizahirkan secara langsung dan memerlukan gerak fikir kerana semiotik mengkaji segala sistem perlambangan yang diciptakan manusia sepanjang kehidupannya.

Joyana Dilam Clement (2020), menegaskan bahawa lazimnya simbol atau lambang yang digunakan oleh pengarang dalam sesebuah karya memiliki kepelbagaian makna tersirat yang perlu dikenal pasti, seterusnya ditafsir dan diintepretasikan oleh pembaca mahupun pengkaji dan membawa makna metafora.

Ekoran itu, MS memperlihatkan kesesuaiannya dengan semiotika dan logika alam realiti yang bukan sahaja bermakna dalam menyampaikan pemikiran, mesej dan nilai secara tersirat tetapi mencitrakan dunia logika dan realiti yang berlaku dalam masyarakat sejagat.

Marilyn mengangkat pemikiran permasalahan kekuasaan (power) yang disampaikan menerusi watak Tuan atau Dia, dan bagasi mahal yang diarkitekkannya menerusi naratif yang segar dan bersahaja tetapi tajam dengan mesej.

Kedua-dua watak ini merupakan ikon kerana kedua-duanya penanda kepada analogi, miripan atau bayangan yang digunakan untuk menandakan kekuasaan dan keangkuhan yang membawa makna metaforanya.

Figura bagasi mahal merupakan analogi kepada metafora kekuasaan, status, golongan elit dan berkedudukan yang diselimuti keangkuhan dan kesombongan maha dahsyat.

Tuan juga menjadi penanda kepada sikap golongan elit, berada, hidup mewah, memakai barangan berjenama (bagasi mahal) dan memiliki rumah agam, namun digambarkan gelisah dan tidak tentu arah kehidupannya setelah kematian isteri dan sebelum membuat keputusan yang bijaksana.

Tuan telah membuang semua barang kesayangan isterinya di dalam bagasi mahal yang berasosiasi dengan niatnya hendak menghapuskan kenangan silam, namun, tindakannya ada sebab musabab, iaitu atas desakan wanita baharu (skandalnya semasa isterinya masih hidup).

Tuan yang memiliki status dan kuasa diperlihat tunduk dengan “kuasa wanita” yang dipanggilnya “sayang” dan berhubungan dengannya secara sulit sebelum kematian isterinya.

Tuan sanggup menipu isterinya dengan memberitahu bahawa dia ada urusan rasmi selama seminggu, namun dia sebenarnya menginap di hotel bertaraf lima bintang bersama dengan skandal sedangkan isterinya sakit tenat, tanpa rasa bersalah (sikap antimoral tuan dan wanita baru).

Marilyn sengaja menggunakan ikon wanita bakal isteri Tuan sebagai wanita berkuasa dan menunjukkan taringnya sebelum berkahwin sehingga Tuan tunduk mengalah dan membuat keputusan untuk menghapuskan semua kenangan silam bersama dengan isterinya.

Penghapusan “barang nostalgia” isterinya bermakna kebebasan dan kebahagiaan yang baharu akan muncul, dan Tuan berasa keputusan tersebut sesuatu yang bijaksana.

Ikon bagasi mahal dan barangan isterinya dalam konteks peristiwa ini menjadi indeks kerana memberikan isyarat atau diindeks dengan penanda dan makna metafora sebagai bayangan silam, hal yang remeh,  mengganggu emosi skandal Tuan, dan tidak memberikan apa-apa erti.

Impaknya, bagasi mahal berperanan penting dan menjadi sebab musabab hubungan Tuan dengan skandal atau bakal isterinya bermasalah selama ini. Bagi Tuan, selama ini bagasi mahal dan barangan isterinya  merupakan “bebanan tinggi menggunung” kepadanya dan menjejaskan hubungannya dengan bakal isteri.

Bebanan membawa makna metafora sebagai mewujudkan kesusahan, halangan dan permasalahan yang besar kepada Tuan kerana Tuan dapat “tersenyum” setelah membuang bagasi mahal dan barangan isterinya, seolah-olah semua beban yang ditanggung dan penderitaannya terlerai.

Dalam konteks ini, pengarang menonjolkan gaya hidup, sikap dan moral golongan elit dengan stail yang santai dan tidak agresif sepanjang plotnya, namun aspek moralnya tidak dipinggirkan.

Aspek moral disuarakan dalam naratif satira yang membawa maksud sindiran, tempelakan, celaan, kiasan, cemuhan, kejian dan kesemuanya yang mengandungi sindiran tajam di dalamnya (Fatimah Busu, 1992).

Satira dan semiotika memiliki simbiosis kerana kedua-duanya disampaikan secara tersembunyi menerusi lambang atau perlakuan tertentu. Perilaku Tuan dan wanita bakal isterinya merupakan satira atau sindiran kepada gaya hidup golongan elit yang menenggelamkan nilai moral, sebaliknya berpaksikan kehendak dan nafsu.

Aspek moral tidak dapat dipisahkan dengan ciri karya pascamodenisme kerana karya-karya aliran ini menyampaikan mesej kepada khalayak.

Penonjolan aspek ini juga dibumbui menerusi tindakan Tuan  yang membohongi isteri dan memiliki skandal ketika  isterinya sedang sakit yang menyirati mesej dan pengajaran kepada khalayak.

Ikon bagasi mahal pada peringkat awal penceritaan sudah digambarkan angkuh dan sombong walaupun kekalutan dengan kebosanan hidupnya yang terperap dalam almari bersama dengan rakan bagasi murah bagi menzahirkan pemikiran kekuasaan.

Dia memprotes dalam diam dan kadang-kadang hendak melepaskan tantrumnya  kepada pintu almari kerana sudah bosan berada di dalam almari yang gelap apabila tuannya sudah jarang membawanya keluar.

Tuannya seolah-olah tidak mempedulikannya dan dia menangis dalam diam, namun tidak menampakkan kelemahannya di hadapan bagasi-bagasi murah kerana keegoan yang tinggi.

Dalam MS, Marilyn menggunakan watak bagasi mahal bagi menanda dan mewakili golongan mewah dan berstatus, diberikan suara serta nafas untuk mengecapi kebebasan, memiliki impian yang besar untuk menjadi milik golongan elit yang menjadi kebanggaannya.

Sikap angkuh bagasi mahal dilunasi pengarang menerusi penggunaan indeks yang ditandai aforisme, iaitu “bagasi murah” (indeks penghinaan dan merendahkan martabat) yang digunakan oleh bagasi mahal untuk melabel rakan-rakan bagasi yang sama-sama terperap di dalam almari tersebut. 

Seterusnya, pengarang menukangi gabungan ikon dan simbol dalam MS yang memperlihatkan kesepaduan antara isi karya dengan alunan semiotika bagi menyampaikan mesej kepada khalayak.

Pengarang merefleksikan penanda imej antara bagasi mahal dan bagasi murah menerusi alam dan deskripsi fikiran oleh bagasi mahal.

Ikon bagasi mahal mewakili imej golongan yang memiliki kekuasaan, kekayaan, elit dan berstatus tinggi manakala bagasi murah dalam MS mewakili golongan marhaen yang tidak memiliki status apatah lagi mengecapi kemewahan.

Golongan berstatus diekspresikan menerusi imej dan citra jenama, bergaul dengan sekufu (sama taraf) menyuburkan keangkuhan, status (darjat) adalah segala-galanya dan merekalah yang terbaik sebagaimana pengakuan bagasi mahal.

Imej ini berasosiasi dengan logika alam realiti kerana kelazimannya golongan yang memiliki status bersifat angkuh tanpa memikirkan impak bahawa apa-apa sahaja yang kita miliki hanya sementara.

Bagasi mahal juga mendabik dada dengan merendah-rendahkan imej bagasi murah sebagai kelemahan, parasit, partikel-partikel toksik, sekadar ekor, memalukan keturunan, jijik, hina, kehancuran, bikin malu, terhegeh-hegeh, hanya pelengkap, sekadar beban, tidak setara, tidak layak, tidak sepadan, mencemar keturunan dan tiada nilai estetika.

Imej-imej bagasi murah pada pandangan sinis bagasi mahal menandakan kemiskinan, kelemahan, kekurangan dan kehinaan golongan marhaen.

Tuntasnya, refleksi imej kedua-dua entiti ini menjadi penanda kepada mesej yang hendak disuguhkan pengarang, iaitu jurang antara golongan berstatus, berkuasa dan berada dengan golongan marhaen (rakyat biasa, rakyat murba dan rakyat jembel) sebagaimana dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2019) yang bersinonim dengan golongan miskin atau B40.

Penggunaan imej “parasit, partikel-partikel toksik dan sekadar ekor” oleh pengarang menerusi watak bagasi mahal bukan sekadar imej biasa, namun memberikan impak yang besar kepada imej golongan elit yang bukan hanya mengkritik golongan marhaen, namun menzahirkan tuduhan, kecaman dan pandangan sinis yang amat negatif kepada golongan marhaen.

“Parasit” merujuk kepada orang yang menumpang dan mengambil kesempatan, “partikel-partikel toksik” pula merujuk kepada unsur berbahaya dan memudaratkan, manakala “sekadar ekor” bermakna hanya pengikut yang tidak berperanan penting.

Sementara penggunaan fitur-fitur dan imej negatif untuk bagasi murah seperti memalukan keturunan, jijik, hina, kehancuran, bikin malu, terhegeh-hegeh, hanya pelengkap, sekadar beban, tidak setara, tidak layak, tidak sepadan, mencemar keturunan dan tiada nilai estetika mengkonsepsikan makna metafora “dehumanisasi”, iaitu tindakan merendahkan martabat manusia dan mengaibkan golongan marhaen.

Penggunaan imej dan fitur tersebut membentangkan kekuatan naratif Marilyn dalam menggunakan simbol untuk menyangkal nilai-nilai humanisasi dan penghinaan emosi terhadap golongan marhaen oleh golongan elit yang berstatus tinggi menerusi watak bagasi mahal.

Motifnya, untuk menyampaikan pemikiran kekuasaan dan status quo golongan elit yang zahir sejak dahulu selain sebagai unsur satira. Corak pemikiran golongan elit ini menjadi stigma sehingga label dan konsep tersebut melekat dalam minda masyarakat sejagat.

Persoalannya, adakah kecaman dan penghinaan yang dilemparkan ini benar? Sebegini negatifkah pandangan golongan elit terhadap golongan marhaen? Adakah golongan marhaen tidak bermanfaat kewujudannya sedangkan setiap individu memiliki peranan masing-masing?

Hakikatnya, tanpa kewujudan golongan marhaen, visi dan misi yang diagendakan oleh golongan berstatus mungkin tidak tercapai. Tepuk dada tanya selera. Persoalan dan mesej yang diekspresikan oleh Marilyn dalam MS jangan diperlekeh, sebaliknya  dibuat perenungan, pencaknaan dengan “mata hati” dan akal yang tajam, sihat serta bernas.

Sehubungan dengan itu, ternyata pengarang menunjukkan keistimewaannya dalam menyampaikan mesej tersembunyi ini tanpa “pergaduhan” antara bagasi mahal dan bagasi murah kerana bagasi murah sedar akan kedudukan mereka lalu memilih berdiam diri dengan memendam api amarah yang membahang.

Tindakan ini bersesuaian dengan langgam penceritaan yang santai, bersahaja dan menandakan stail Marilyn dalam menukangi cerpen ini.  Bagasi murah dihiasi imej rendah hati dan sedar akan kedudukan diri dengan merelakan kata-kata hinaan bagasi mahal.

Marilyn tidak mewujudkan ikon bagasi murah yang agresif dan defensif untuk bangkit mempertahankan imej mereka di mata bagasi mahal. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengizinkan keangkuhan dan egois bagasi mahal bermaharajalela secara berterusan kerana beliau secara sedar mewakili maruah bagasi murah.

Mekanisme ini memanifestasikan bahawa beliau bereaksi dengan logika dan perasaannya sendiri. Beliau “mematikan” keegoan dan keangkuhan bagasi mahal yang leka dengan kemewahan dan statusnya tanpa disedari bagasi mahal.

Tindakan Marilyn membuat kejutan drastik dalam alur cerita melalui watak Tuan yang berubah karakternya telah mengubah nasib bagasi mahal. Bagasi mahal terkedu, terpana kerana tidak menyangka dan tidak pernah membayangkan tindakan tuannya.

Kejutan ini “memati” dan memunahkan kegembiraan bagasi mahal yang menyangka bahawa dirinya akan berterusan berada di atas, dipuja, dijunjung dan dimanfaatkan oleh tuannya, namun segalanya sirna dalam sekelip mata apabila dihantar ke Pusat Kitar Semula dengan nilai yang rendah (1:8 sahaja), bahkan tuannya menolak wang bayaran, sebaliknya lebih berbangga dengan tindakannya yang berjaya mengeluarkan bagasi itu dari rumah agamnya dan menghantar bagasi tersebut ke pusat itu.

MS memperingatkan khalayak bahawa status kita pada hari ini tidak akan sama selamanya kerana masa akan mengubah segalanya. Harganya yang mahal menjadi lebih murah daripada bagasi murah apabila tuannya sendiri mematikan keangkuhan, kesombongan dan kejelikannya dalam sekelip mata.

Seterusnya, pengarang memperlihatkan kepekaan dan sensitivitinya untuk memperingat dan menyampaikan mesej bahawa tidak ada yang berkekalan di dunia ini, maka kita harus berwaspada dalam setiap tindakan dan perlakuan tanpa mengira status yang kita miliki.

Kita hanya bersifat sementara di dunia ini, jadi tidak wajar untuk mendabik dada, menghina, memperlekeh dan merendahkan martabat sesama manusia.

Bagasi mahal bukan sekadar bagasi tetapi ikon, indeks dan simbol yang menyampaikan mesej berharga kepada khalayak agar sentiasa beringat untuk melakukan kebaikan, mempamerkan imej positif, berperilaku mulia, menjaga pertuturan dan tidak meninggi diri dengan status yang dimiliki. Status dan kekuasaan akan sirna apabila tiba masanya.

Kekuatan dan keistimewaan MS di tangan Marilyn turut diperlihatkan menerusi kebolehan pengarang membongkar sisi “gelap” dan dimensi prinsip golongan elit dan berstatus yang mementingkan keangkuhan.

Pembongkaran prinsip golongan ini menerusi alam fikiran ikon bagasi mahal menandakan kepekaan pengarang bahawa budaya materialistik dan masalah moral semakin menebal.

Golongan ini keterlaluan dalam menjunjung tinggi status dan keegoan. Simbol bagasi mahal ditandai imej keangkuhan yang total menerusi peristiwa bagasi ini dikeluarkan dari almari dan bersedia untuk dibawa pergi melancong (ramalan dalam fikiran bagasi mahal).

Bagasi mahal dengan angkuh berdrama di hadapan bagasi murah dengan tidak menunjukkan kesedihan ketika meninggalkan bagasi lain dari dalam almari, menunjukkan egois, megah kerana terpilih, berasa dirinya contoh terbaik, bangga dipuja-puja orang lain dan memperlekehkan bagasi murah sebagai bukan utusan alam semesta.

Simbol citra “egois” yang digunakan oleh bagasi mahal dalam MS menjadi penanda kepada sikap individualistik dan sanggup mengabaikan perasaan orang lain. Peristiwa dan sikap bagasi mahal ini menyuguhkan nilai keinsafan dan kesedaran agar khalayak tidak mencontohi moral negatif ini.

Akhirnya, keterujaan dan kegembiraan bagasi mahal yang belum pasti telah dimusnahkan oleh tuannya sendiri tanpa diduganya. Tidak syak bahawa Marilyn sendiri telah menghukum keangkuhan bagasi mahal dan tuannya tanpa menghadirkan watak lain.

Secara rangkumannya, mekanisme semiotika yang digunakan oleh Marilyn memperlihatkan kemenjadian dan berasosiasi dengan logika serta realiti dalam menyampaikan pemikiran dan mesej kepada khalayak.

Semoga Marilyn terus berkarya dengan mengekalkan aliran pascamodenisme yang dianutinya. Beliau memperlihatkan kekuatan dalam memanipulasi dan mengeksploitasi lambang-lambang semiotika untuk mencitrakan prinsip dan moraliti golongan berstatus menerusi simbol “bagasi mahal”.

Perkara ini bertepatan dengan nuansa kehidupan pada era ini agar berupaya menjadi didaktik dalam mengharungi dunia ketidakpastian yang semakin kompleks, menimbulkan ketakutan, kebimbangan dan nonlinear yang menyebabkan hubungan sebab akibat tidak dapat diramal, malahan tindakan yang kecil boleh membawa kesan yang besar.

Akhirnya, moraliti sewajarnya menjadi agenda dalam setiap pemikiran lapisan makhluk yang memiliki akal fikiran yang waras.

Oleh Sara Beden

Continue Reading

Previous: Sajak (Tanpa Roh)

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.