
SIBU: Sebanyak sembilan unit Rumah Spektra Permata (RSP) di Kemunyang diserahkan kepada penduduk yang layak, petang ini.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee, penerima adalah terdiri daripada penghuni asal Kampung Hilir dan Kampung Datu yang sebelum ini menetap di kawasan berisiko di tepi sungai.
Menurutnya, penyerahan rumah RSP merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan penduduk setempat melalui penempatan semula yang lebih teratur dan selesa.
“Petang ini kita menyerahkan sembilan rumah kepada mereka yang telah dikenal pasti. Daripada keseluruhan 110 unit Rumah Spektra Permata (RSP) yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di sini, kini hanya 10 unit sahaja masih belum diagihkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci kepada sembilan penerima unit Rumah RSP di Kemuyang, petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu memberitahu, usaha mengenalpasti penerima telah dijalankan sejak enam bulan lalu, khususnya melibatkan mereka yang tinggal berhampiran tebing sungai yang berisiko tinggi.
“Selain unit milik HDC, 70 unit lagi adalah pembangunan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), dengan hanya tujuh unit masih kosong.
“Baki rumah ini akan diutamakan kepada keluarga tambahan (extended family) dari Kampung Datu Lama yang sebelum ini tinggal beramai-ramai dalam sebuah rumah, atau tidak layak ditempatkan semula kerana isu pewarisan dan pampasan,” ujarnya.
Dr Annuar turut memaklumkan bahawa masjid di kawasan penempatan baharu tersebut hampir siap sepenuhnya dan dijangka dapat digunakan menjelang Ramadan tahun depan.
“Penempatan semula ini merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat di kawasan bandar Sibu,” kata beliau.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali.
Oleh Akun Giman