SARATOK: Program Merdeka Ride #Saratok2020 bersempena sambutan Hari Kebangsaan menjadi medan terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Menurut wakil Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Kalaka, Fadli Othman berkata program tersebut bertujuan menanam semangat kekitaan dan cintakan negara serta menghargai jasa-jasa pejuang dahulu yang sanggup berkorban apa sahaja demi kemerdekaan negara.
Menurutnya, generasi hari ini perlu diingatkan erti kemerdekaan kerana mereka tidak melalui zaman susah payah dan derita menuntut kemerdekaan.
“Program Merdeka Ride #Saratok2020 yang diadakan kali ini sekurang-kurangnya dapat menanam semangat cinta dan sayang kepada negara dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
“Penglibatan masyarakat Saratok dan golongan belia yang turut sama dalam kayuhan dapat menjalin hubungan silaturahim dan semangat kekitaan di samping aktiviti sihat dan bermanfaat,” katanya ketika berucap Program Berbasikal (Merdeka Ride) Sempena Hari Kebangsaan 2020 bertempat di Arena Bola Tampar Saratok semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz telah menyempurnakan upacara pelepasan seramai 123 orang peserta Program Merdeka Ride #Saratok2020 tersebut.
Program yang telah dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Kalaka itu telah mendapat kerjasama daripada Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Melango Lama Hilir dan Kampung Pagan, Grup Berbasikal Saratok serta Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Saratok.
Fadli berkata inisiatif melalui program ini adalah bagi menyemarakkan lagi suasana bulan kemerdekaan di daerah Saratok dengan mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang lapan kilometer (KM) kayuhan yang bermula dari Arena Bola Tampar Saratok, kampung sehingga ke Simpang Udang dan berakhir di Dataran Jam Saratok.
“Aktiviti sebegini diyakini mampu mengeratkan hubungan masyarakat dan dapat mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan anak muda serta penglibatan ibu bapa, selain melahirkan warga Saratok yang sihat dan cergas.
“Acara berbasikal juga aktiviti yang kerap diadakan setiap penganjuran aktiviti dan program di daerah ini kerana ia menjadi gaya hidup masyarakat masa kini untuk melakukan aktiviti riadah khususnya bersama keluarga,” ujarnya.
Sepanjang kayuhan kata Fadli, peserta mengibarkan Jalur Gemilang sekali gus menyerlahkan matlamat utama mereka dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara.
“Kita wajar berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana saja bagi membuktikan semangat cintakan negara dengan ikhlas.
“Ini yang cuba kami tekankan dalam kalangan peserta muda supaya golongan yang lahir selepas merdeka tidak alpa dengan arus kemodenan negara hingga terlupa pengorbanan pejuang negara mempertahankan tanah air,” tegasnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Saratok, Mohd Ikhmal Abdullah dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Mohamad Duri.
Oleh Adi Safarman