Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Semarakkan semangat generasi pengakap
  • TEMPATAN

Semarakkan semangat generasi pengakap

Utusan Sarawak 1 month ago
RAKAM KENANGAN… Jumaat Ibrahim bergambar bersama delegasi Pengakap Taiwan dan tetamu lain. Foto UKAS

KUCHING: Bangunan baharu Persatuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak yang bakal dibina di Batu Lintang dijangka menjadi lambang kebanggaan bukan sahaja untuk Sarawak, malah seluruh negara.

Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Jumaat Ibrahim, berkata pembinaan ibu pejabat tersebut dijangka bermula dalam tempoh setahun, tertakluk kepada kelulusan kerajaan Sarawak yang kini masih dalam proses.

“Kami merancang untuk membina sebuah ibu pejabat yang ikonik, rekaan bangunannya sangat luar biasa dan diharapkan dapat menyemarakkan semangat generasi pengakap masa depan di Sarawak,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kuching semalam.

MOMENTO… Jumaat Ibrahim (dua kiri) menerima momento daripada Stanley Lee (kiri) sambil disaksikan delegasi Pengakap Taiwan yang lain.

Menurutnya lagi, bangunan tersebut bukan sekadar pejabat, malah bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan ruang aktiviti bagi melatih anak-anak Sarawak menjadi individu yang berdikari, bersatu padu serta mengamalkan gaya hidup sihat dan bersih dalam masyarakat berbilang kaum.

Ditanya mengenai rekaan bangunan itu, Jumaat yang juga Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan, memilih untuk berahsia buat masa ini kerana ingin memberikan kejutan kepada orang ramai.

“Tapi yang pasti, seni binanya tidak sama dengan mana-mana ibu pejabat pengakap lain di Malaysia. Malah saya tidak terkejut jika ia menjadi ikon pengakap negara,” katanya sambil mendedahkan terdapat tapak perkhemahan yang akan dibangunkan di kawasan tersebut, di tengah-tengah bandar Kuching.

Untuk rekod, bangunan ibu pejabat sedia ada musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran pada 6 Februari 2024.

Ketika ini, Sarawak mencatatkan sekitar 45,000 ahli pengakap yang berdaftar dan tidak berdaftar.

Sementara itu, majlis rumah terbuka Jumaat turut diserikan dengan kehadiran delegasi Pengakap dari Taiwan yang diketuai Stanley Lee.

“Kehadiran mereka adalah untuk melihat sendiri bagaimana rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama hidup dalam suasana harmoni, terutamanya ketika sambutan perayaan,” jelas Jumaat.

“Mereka faham dengan lebih dekat budaya kita, dan melihat sendiri apa yang sering kami banggakan tentang Sarawak, tempat kita boleh meraikan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan pelbagai lagi perayaan secara bersama tanpa mengira latar belakang,” tambahnya lagi.

Beliau menegaskan, suasana perpaduan yang ditonjolkan rakyat Sarawak ketika musim perayaan bukan sahaja menjadi contoh kepada negeri lain, malah menarik perhatian masyarakat luar negara.

Majlis turut dihadiri ahli keluarga, rakan-rakan serta beberapa persatuan seni mempertahankan diri yang tampil memeriahkan suasana. – UKAS

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Patung kucing ikonik di Jalan Padungan ‘berwajah baharu’
Next: Pembangunan Jalan Marudi ke Mulu siap dalam masa dua tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.