

SIMANGGANG: Program gotong-royong membuat bubur lambuk yang dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bahagian Sri Aman ada hari ini adalah penting bagi penduduk dalam menerapkan amalan saling membantu terutamanya pada Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ghazali Kaffi berkata, program yang dianjurkan itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan ahli KRT di Bahagian Sri Aman sendiri, bahkan mengukuhkan hubungan yang terjalin melalui aktiviti yang diadakan.
“Kita dapat melihat ahli KRT dan penduduk setempat saling berganding bahu dalam penyediaan bubur lambuk ini sebelum bersama-sama mengagihkannya kepada orang ramai.
“Saya menyifatkan keadaan itu sesuatu yang amat baik dalam usaha mengukuhkan kerjasama dalam aktiviti diadakan antara ahli KRT sendiri serta penduduk setempat,” katanya semasa merasmikan Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan 2025 Peringkat KRT Bahagian Sri Aman di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Simanggang, pagi tadi.
Sementara itu, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Ahmad Noorkamal Abdul Malek memberitahu, Sarawak amat bertuah kerana semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
“Di sini kita hidup dalam pelbagai bangsa dan anutan agama tetapi kita mampu bersatu dan menjayakan majlis bersama. Kita tidak kekok bergaul dengan rakan lain yang berlainan bangsa dan agama serta saling membantu antara satu sama lain.
“Inilah semangat semangat perpaduan yang sebenarnya seperti yang diuar-uarkan oleh pemimpin kita yang begitu sinonim di sini,” jelasnya.
Setakat ini, 63 KRT di Bahagian Sri Aman telah ditubuhkan, yang mana tujuh KRT yang baharu telah ditubuhkan baru-baru ini.
“Saya menjangkakan, akan ada penambahan KRT baharu di bahagian ini yang disasarkan di sekitar kawasan Engkilili, Lubok Antu dan Sri Aman,” tambahnya.
OLEH ADI SAFARMAN