
MIRI: Semangat Aidilfitri dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelbagai agensi kerajaan di Bahagian Miri untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik menerusi penganjuran majlis Ramah Tamah Aidilfitri Agensi Kerajaan 2026 di Wisma Pelita Tunku, hari ini.
Program anjuran Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Miri selaku tuan rumah dengan kerjasama beberapa agensi rakan strategik itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan perayaan, malah menjadi medium memperkasakan hubungan antara jabatan demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis tersebut menghimpunkan pegawai dan kakitangan pelbagai agensi dalam suasana mesra serta harmoni, sejajar dengan usaha memupuk perpaduan, memperkukuh komunikasi dan meningkatkan semangat kerja berpasukan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JTS, penganjuran itu mencerminkan komitmen berterusan agensi kerajaan dalam membina kolaborasi lebih mantap selain mempertingkat keberkesanan perkhidmatan awam secara bersepadu.
Turut hadir Residen Bahagian Miri, Galong Luang, ketua-ketua jabatan, jemputan khas dan rakan strategik.
Pelbagai pengisian diadakan termasuk sesi ucapan, melawat ruang pameran agensi, sesi bergambar dan jamuan hari raya sebagai simbolik hubungan erat antara warga perkhidmatan awam di Miri.
Oleh Liong Chai Ling