
KARYA sastera yang menyorot tentang situasi pencerobohan alam hijau di Sarawak, bolehlah dianggap sudah melepasi klise dalam ranah penulisan. Cerita-cerita bertema sedemikian telah ditulis oleh deretan sasterawan terkemuka Sarawak sejak genre cerpen beransur-ansur melalui evolusi pemodenan dalam penerokaan tema yang lebih rencam di Sarawak.
Sungguhpun begitu, ia bagaikan suatu kesempatan buat para pengarang melahirkan rasa empati dan simpati kepada komuniti yang terperangkap pujukan manis proksi suruhan konglomerat dari pejabat berhawa dingin. Familiar?
Mengapa tema domestik itu masih terus diberikan perhatian dan menjadi tunjang penulisan? Bahkan para pengarang Sarawak generasi baharu juga tidak terlepas daripada tema tradisi itu sebagai motif utama.
Seperti buaian yang berayun-ayun di tempat yang sama, kita masih mengikuti cerita dengan tema yang sungguh tersendiri itu. Kawasan perlindungan penghuni hutan dicemari racun dan akhirnya penghuni hutan terkorban di tengah-tengah amukan kerja pembalakan. Pola ceritanya seragam.
Aneka teknik yang digunakan para pengarang terkemudian untuk melampiaskan kritikan sebagai alternatif dalam proses pengkaryaan.
Satira ialah pilihan paling digemari kerana berpotensi menjadikan naskhah terasa tajam dan menghiburkan. Ia memberikan lagi warna dan nuansa dalam langgam penceritaan. Bahagian paling menyeronokkan adalah apabila manusia dipermainkan oleh haiwan. Tiada yang lebih mengharukan tatkala spesies manusia tersungkur oleh kecerdasan haiwan. Inilah dunia fiksyen yang sering direka untuk menterbalikkan nilai ketamadunan manusia.
Di balik rancaknya projek pembangunan, tidak dinafikan bahawa betapa wilayah yang menghijau di kawasan-kawasan jauh dari bandar, kian dipupuskan sedikit demi sedikit dari pandangan. Tiada zon selamat yang kekal terjamin.
Bumi bukan syurga yang serba indah dan mendamaikan. Setiap zaman, watak penjahatnya masih dipegang oleh manusia. Bukan sahaja malapetaka kemusnahan berlaku di daratan, ia juga sedang terjadi lautan, sungai dan di kutub utara serta kutub selatan. Loceng amaran sudah sekian lama dibunyikan, tetapi dunia tidak mengendahkannya.
Lalu bagaimana dengan keadaan para penghuni di rimba raya yang tidak berakal – terdiri daripada pelbagai spesies mergastua – untuk bangun menentang? Rusa, kura-kura, monyet, Orang Utan, burung, gajah dan lain-lain spesies bukan manusia? Apa senjata digunakan? Sumpit, buluh runcing atau senapang laser? Tidak mungkin haiwan-haiwan mampu melawan sebagaimana manusia yang memiliki tipuan helah pertempuran.
Pada hujung cerita yang lazim dibaca, setiap haiwan mendiami hutan rimba akan terkorban terlebih dahulu. Kemudian, pengarang naskhah campur tangan untuk membalas dendam dengan setimpal. Ia katarsis yang memang direncanakan dari awal.
Terdapat golongan haiwan dalam kelompok manusia. Tidak mungkin sifat manusia wujud dalam karakter haiwan. Di sinilah para pengarang memilih cara melanggar logik untuk menjadikan naskhah tampak menarik dan unik.
Alam kreativiti mengizinkan pengarang berimaginasi. Watak-watak haiwan diberikan suara, emosi dan kepandaian mengikut perspektif pengarang. Hal ini kerana, dalam konteks naskhah yang dibicarakan ini, manusia ialah musuh kepada spesies haiwan yang berada di ambang maut.
Golongan manusia yang melampaui batas itu perlu diajar erti kehormatan dan maruah. Mereka memasuki hutan dengan niat untuk membunuh kehidupan di situ, maka tindakan balas yang sama terpaksa dilakukan.
Bukan menafikan cerita bertema dengan pendekatan popular itu, tetapi, sudah masanya pengarang Sarawak mencari cerita-cerita terkini, yang tetap sama gentingnya dengan tema perjuangan di tengah rimba dengan mafia pembalakan. Jika pun tetap menulis kisah-kisah sebegitu, saya harap agar naratifnya lebih cemerlang dan berkesan.
Kalau boleh, diambil dari sudut baharu yang belum pernah ditulis. Watak-watak pelbagai jenis haiwan dijadikan narator, bersaing dengan manusia, adalah suatu sindiran paling keras untuk menggambarkan betapa runtuhnya etika dan moral makhluk berakal itu. Bayangkan impaknya jika haiwan pelbagai spesies dari masa depan muncul dengan senjata canggih yang belum diperlihatkan pada masa sekarang?
Para penulis sejak dahulu, misalnya Awangku Merali Pengiran Mohamed, Jaya Ramba, Jong Chian Lai dan lain-lain pengarang, sering mengangkat permasalahan sedemikian dalam naskhah masing-masing dengan ekspresif dan lantang.
Awangku Merali Pengeran Mohamed, sebagai misal, memberikan contoh yang terbaik dan menakjubkan, sehingga pembaca terseret secara emosional ke dalam teks beliau. Tetapi, pengarang besar itu tidak memindahkan karakter manusia kepada haiwan. Manusia berhadapan dengan manusia secara jantan agar naskhah terlihat lebih impresif.
Silalah rujuk dalam buku Cerita dari Sebuah Taman. Malahan sehingga kini naskhah-naskhahnya menjadi bacaan klasik tentang keberanian pahlawan-pahlawan peribumi yang tertindas melawan samseng sindiket pembalakan. Naratifnya sungguh mengesankan kerana kedalaman pengarangnya mengangkat watak dan memberikan karakter yang jitu.
Protagonis menzahirkan ledakan perasaan marah dan dendam mereka setelah dikhianati oleh komuniti sendiri. Hidup di atas teks. Emosi dan dialog wataknya tulen, datang dari dasar hati. Bukan buatan AI. Naskhah yang sebegini dikehendaki ranah kesusasteraan.
Kepekaan sebahagian pengarang tempatan dalam membangkit isu kerosakan wilayah rimba, kemudiannya mencetuskan kesedaran pengarang generasi untuk turut sama menyatakan solidariti. Melalui karya kreatif, para pengarang menyumbangkan suara dan kepedulian mereka sebagai warga yang bertanggungjawab. Kisah yang dihasilkan tidak semata-mata fiksyen yang berapungan tanpa hubung kait dengan realiti setempat.
Alam menghijau dan lautan yang membekalkan oksigen dan sumber rezeki memerlukan sokongan daripada para penghuninya – manusia. Namun manusia dan ketamakan mereka sering menjadi pemusnah kepada alam dan fauna.
Demikian, cerita yang bertema serupa, diteruskan oleh Benjamin Asin dalam naskhah bertajuk “Libau, Kenyalang Sakti”. Burung kenyalang yang menjadi ikonik kepada negeri Sarawak, menjadi hero kepada kelestarian kehidupan penghuni rimba. Desakan untuk memberanikan diri melawan musuh yang bermaharajalela, kian membara di dadanya.
Komuniti yang sama-sama menghuni hutan mengambil sikap berkecuali, pasif dan enggan untuk bekerjasama. Libau hampir karam dalam depresi. Berserah pada keadaan atau memperjuangkan wilayah kediaman?
Akibat keletihan dan terbeban oleh kekecewaan, Libau terlelap dan bermimpi. Tanpa diduga, kenyalang istimewa muncul dari langit. Kenyalang putih bersayap emas. Sayapnya besar, terbentang luas melepasi langit dan bumi.
Kenyalang yang dianggap Penjaga Langit dan penjaga zaman yang semakin dilupakan. Rintihan kenyalang yang tidak mampu melakukan apa-apa bantuan ke atas kerosakan hutan dan penderitaan para penghuninya, dimengertikan kenyalang Penjaga Langit. Bantuan daripada kesaktian kenyalang Penjaga Langit memang dinanti-nantikan Libau.
Di dunia ini, hanya yang berkuasa, besar, gagah dan berduit sahaja mampu melakukan apa-apa sahaja. Inilah kenyataan yang sedang dan akan terus berlaku. Sedangkan Libau hanya seekor burung kenyalang biasa. Tiada kelebihan yang dimiliki untuk hidup di dunia moden.
Apa dayanya? Golongan manusia mampu menghabiskan hayatnya dalam masa sedetik sahaja. Melawan atau mendiamkan diri, sama sahaja. Inilah yang dinasihati rakan-rakan penghuni hutan kepada Libau. Penghuni hutan rimba tidak akan mampu menyaingi kehebatan akal dan kelengkapan moden spesies manusia.
Pengarang naskhah, Benjamin Asin, menghadirkan kenyalang Penjaga Langit untuk menyalurkan kuasa sakti yang sememangnya diperlukan andai bertembung dengan spesies manusia – perosak alam sejak dahulu lagi. Kuasa sakti tidak semestinya bergantung pada kecanggihan senjata berteknologi tinggi. Tapi pada akal, idea dan daya intelektual.
Berkat pertolongan dan dorongan semangat dari kenyalang Penjaga Langit, Libau menemui jalan keluar daripada intimidasi oleh pihak penceroboh durjana itu. Cahaya di hujung lorong akhirnya menyala. Rakan-rakan bergandingan tangan untuk sama-sama membantu Libau. Namun segala-galanya bermula dari dalam diri. Inisiatif dan keyakinan serta bersatu hati.
Libau merasa aliran sensasi meresap ke tubuhnya. Sesuatu semangat yang luar biasa menyelinap ke dalam jiwanya yang dahulu pasif. Pengarang menggambarkan keajaiban semangat itu dan kesan trajektorinya kepada karakter Libau;
‘’Cahaya menyelubungi tubuhku. Aku merasakan dadaku panas, buluku bergetar dan muncul kekuatan aneh bangkit pada diriku. Situasi itu bukannya sihir, bukan juga mantera, bukan juga jampi, akan tetapi kesedaran silam yang menggamit diriku. Aku sedar aku bukan hanyalah seekor burung kenyalang tetapi wira yang harus dihargai selamanya.’’
Mimpi membayangkan visi – apa yang bakal terjadi. Libau percaya tiada sesiapa yang akan membantu dirinya, kecuali diri sendiri. Kemunculan kenyalang yang dianggap suci dan istimewa dalam mimpi, menyuntik keberanian yang sebelum ini terpendam jauh di dasar jiwanya. Libau perlu bangkit melawan.
Kenyalang bukan sekadar burung. Tetapi ia membawa imej unggul. Pihak penceroboh mencabar dan menjatuhkan harga dirinya. Bukan tunduk berserah buat selama-lamanya. Perjuangan melawan penceroboh durjana harus digerakkan sekarang jika tidak ingin melihat situasi bertambah buruk. Keadaan sekeliling dan penderitaan dialami komuniti penghuni hutan rimba sudah tidak melangkaui kesabarannya.
Biarlah, apa yang terjadi. Spesies manusia harus menerima hukuman setimpal. Pokok jatuh sebatang demi sebatang. Lama-lama, penghuni hutan tiada lagi tempat untuk didiami.
Bumi kembali bernafas lega. Air yang dulu dicemari racun, jernih semula. Hitam dan kotor berubah kepada warna asal. Alam yang sebelum ini dibingitkan oleh mesin gergaji dan pokok-pokok yang tumbang, ceria seperti sediakala. Kemenangan telah pun kembali ke pangkuan penghuni hutan rimba. Lagu-lagu gembira berkumandang di langit yang cerah.
Spesies manusia diajarkan bahawa tidak selamanya mereka kekal berada di atas. Mereka yang memasuki hutan dengan niat baik, akan dilayan dengan sewajarnya. Namun mereka yang datang dengan tujuan menyebabkan punca kerosakan alam, pengakhiran mereka akan berhadapan dengan musibah yang sama.
Demikian naskhah ini disudahkan. Kejayaan Libau, seekor burung kenyalang yang menjadi lambang keramat negeri Sarawak, kembali namanya menjadi sebutan. Nama dan keperibadiannya diabadikan dalam karya kreatif. Pahlawan eksotik yang beraksi untuk menunjukkan kecerdikan tempatan. Pahlawan peribumi yang bangkit sebagai pembela alam hijau dengan menyatukan komuniti penghuni hutan rimba – membentuk satu pasukan.
Kemenangan, kadang-kadang memerlukan kerjasama daripada rakan-rakan. Andai masing-masing cuak dan berserah kepada keadaan, sukarlah untuk meraih kemenangan. Manakala yang berani dalam medan pertempuran, akan mati dengan bermaruah. Inilah mesej utamanya.
Cerita, sturuktur dan plot yang berkesudahan dengan kemenangan di pihak Libau memang sudah dijangkakan. Kekurangan naskhah begini, selain klise, plotnya yang seragam. Sungguhpun begitu, amanat dalam naskhah inilah yang paling ditonjolkan. Inilah maksud pengarang yang sebenarnya.
Alam yang serba indah, tentu mendamaikan mata memandang. Sebaliknya apabila mesin-mesin pemusnah melanggar kawasan hijau, pemandangan yang membahagiakan, berubah menjadi padang jarak padang terkukur. Bukan sahaja penghuni hutan rimba yang terseksa, malahan manusia juga menerima tempiasnya.
Pengarang naskhah mahukan suara dan protesnya didengari. Jelas, pengarang masuk campur dalam pembinaan naratif. Naratifnya biasa, sederhana dan sudah diulang-ulang sebelum ini. Inilah mengapa saya merasakan bahawa pengarang generasi baharu harus mencari tema-tema baharu yang lebih segar, mencabar dan menggugat pemikiran.
Jika tidak dan masih berpaut pada cerita yang sama, maka, naskhah hanya sekadar menyampaikan formula cerita yang familiar dalam kalangan pembaca tempatan. Tiada yang baharu dan mengejutkan. Hal sebegini mengurangkan kualiti dalam penulisan dan ranah sastera tidak akan berganjak ke mana-mana.
Oleh Roslan Jomel