Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Selamatkan 21 nyawa, pemandu lori terima anugerah khas dan sagu hati
  • NASIONAL

Selamatkan 21 nyawa, pemandu lori terima anugerah khas dan sagu hati

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke (tengah) menyampaikan replika cek dan Sijil Anugerah Wira Prihatin Jalan Raya kepada pemandu lori Wong Tuck Meng (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Sijil Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) kepada Pemandu Lori Kemalangan Terowong Menora di Bangunan Parlimen hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah (dua, kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keberanian seorang pemandu lori mempertaruhkan keselamatan diri dengan menggunakan kenderannya bagi menahan sebuah bas ekspres daripada terbabas, mendapat pengiktirafan apabila menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000 daripada kerajaan hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penghargaan menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu diberikan kepada WongTuckMeng, 40, atas tindakan pantas beliau menyelamatkan nyawa 21 penumpang bas dalam kejadian berhampiran Terowong Menora, Perak, pada 15 Jun lepas.

“Oleh kerana kepantasan seorang pemandu, seorang wira yang mengambil tindakan walaupun mungkin membahayakan dirinya sendiri, tindakan itu telah berjaya mengelakkan satu kemalangan tragis dan menyelamatkan ramai nyawa manusia,” katanya pada majlis penghargaan khas di bangunan Parlimen hari ini.

Mengulas mengenai kronologi kejadian, Loke berkata bas dalam perjalanan dari Kedah menuju ibu negara itu mengalami masalah teknikal dan hilang kawalan sepenuhnya ketika menuruni bukit berhampiran terowong terbabit.

Loke berkata Wong telah bertindak tenang dengan membiarkan bas berkenaan “berpaut” pada kenderaannya bagi memperlahankan impak momentum selepas bas terbabit merempuh bahagian belakang lorinya.

“Bukan sahaja dapat memperlahankan, malah berjaya memberhentikan bas itu tanpa terbabas menggunakan lorinya dengan merapatkan kenderaan ke arah rel penghadang ketika menuruni bukit,” katanya.

Bagi Wong pula, tindakan spontannya itu dilakukan semata-mata demi memastikan rantaian kenderaan lain di hadapan mereka sempat menyelamatkan diri selain mengelak sebarang kehilangan nyawa.

“Saya hanya terfikir situasi macam itu, seboleh-bolehnya jangan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian. Jarak bas agak jauh sedikit jadi sempat untuk saya tekan hon bagi memberi masa kepada kereta-kereta di depan menyelamatkan diri,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Wong atas keberaniannya.

Penghargaan itu disampaikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas Loke membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Loke pada pembentangan itu turut memuji Wong dan menyifatkan beliau sebagai “wira negara” selepas tindakan pantasnya itu berjaya mengelakkan tragedi buruk, sekali gus membuktikan masih ramai individu yang sanggup bertindak membantu orang lain demi keselamatan awam walaupun tidak mendapat perhatian meluas.

Sebelum ini, video cemas memaparkan tindakan berani pemandu lori itu tular menerusi media sosial dan mendapat pujian daripada warga maya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pelaksanaan BDR jimat RM5.98 juta subsidi petrol setakat hari ini – KSN
Next: Lebih 140,000 kes penagihan dadah sintetik tahun lepas – Saifuddin Nasution

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.