KUCHING: Aktiviti sektor ekonomi akan dibuka dan dibenarkan beroperasi mulai 12 Mei ini di seluruh Sarawak.
Keputusan ini dibuat setelah meneliti laporan yang dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian telah disediakan dan sedang dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat dengan mengandungi aktiviti yang dibenarkan dan aktiviti yang dilarang.
“Mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuka semula aktiviti ekonomi hendaklah memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini semalam.
Tambah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu lagi, pihaknya yakin arahan baharu untuk membuka aktiviti sektor ekonomi akan memberi kelegaan kepada rakyat jelata yang selama ini terjejas punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac yang lalu.
“Walaubagaimanapun, keputusan ini dibuat tidak bermakna Kerajaan Negeri Sarawak mengabaikan aspek kesihatan. Kedua-dua aspek kesihatan dan ekonomi diambilkira demi kepentingan semua pihak,” ujarnya.
“Oleh itu SOP pengoperasian sektor ekonomi yang ketat disediakan bagi memastikan langkah pematuhan dan pencegahan dipatuhi.
“Pihak penguatkuasaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, RELA akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap SOP.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, Sarawak telah bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan syarat SOP ditetapkan sesuai dengan keadaan di negeri ini.
“Selepas pemegang taruh memahami sepenuhnya SOP ini, pendekatan seterusnya ialah memulakan operasi. Apabila operasi (sektor perniagaan) ini bermula, kita boleh melakukan pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan dengan berkesan kerana jumlah mereka yang melaksanakan semua ini sudah mencukupi.
“Tiada maknanya kita memperkenalkan SOP jika kita tidak dapat melaksanakannya,” ujar Uggah baru-baru ini.
Tegas beliau lagi, Sarawak akan meneliti sektor-sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula mengikut kategori zon Covid-19 kerana kira-kira 70 peratus daripada kawasan di negeri ini ketika ini adalah zon hijau.