LAHORE: Pihak berkuasa Punjab, wilayah paling ramai penduduk di Pakistan mengarahkan semua institusi pendidikan ditutup hari ini.
Protes dilakukan penuntut selepas tersebar laporan mengenai kes rogol di kampus di media sosial.
Susulan itu, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Dalam Negeri Punjab mengarahkan penutupan semua jabatan pendidikan dalam tiga notis berasingan semalam, tanpa menyebut dakwaan rogol atau bantahan.
Jabatan Dalam Negeri juga melarang perhimpunan pada hari Jumaat dan Sabtu.
Penutupan itu dilihat memberi kesan kepada kira-kira 26 juta kanak-kanak selain penuntut institusi pendidikan tinggi di wilayah timur Punjab.
Protes tercetus di ibu kota wilayah Lahore selepas laporan media sosial tersebar bahawa seorang pelajar wanita dirogol di ruang bawah tanah sebuah kampus Kolej Punjab hujung minggu lalu.
Bagaimanapun polis, kolej dan kerajaan wilayah menyatakan tiada mangsa yang tampil melaporkan kejadian itu.
Protes itu juga merebak ke kampus-kampus di seluruh Lahore serta bandar Rawalpindi, yang berjiran dengan ibu kota Islamabad apabila pelajar menuduh pihak berkuasa melakukan penyamaran.
Sementara itu, pegawai kanan polis Rawalpindi, Syed Khalid Mehmood Hamdani, berkata 380 orang sudah ditangkap kerana vandalisme dan melakukan pembakaran di bandar itu semalam dan siasatan sedang diteruskan.
“Kami akan cuba menjejaki mereka yang terbabit dari media sosial,” katanya.
Protes itu mencerminkan kebimbangan dalam kalangan pelajar Pakistan terhadap keselamatan, gangguan dan serangan seksual terhadap wanita di kolej serta ketidakpercayaan terhadap pihak berkuasa.
Penunjuk perasaan yang kebanyakannya pelajar lelaki juga dilihat memecahkan tingkap dan membakar bas sekolah di kampus sekitar Lahore.
Pengarah Kumpulan Kolej Swasta Punjab, Arif Chaudry, berkata, insiden itu tidak wujud.
“Saya akan meletakkan jawatan, meninggalkan profesion ini dan berdiri bersama pelajar jika insiden itu berlaku,” katanya yang mengendalikan kolej wanita itu.
Ketua Menteri Punjad, Maryam Nawaz Sharif, berkata mereka yang menyebarkan hantaran palsu itu akan dihukum.- AFP