KUCHING: Semua sekolah menengah dan rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti sediakala mulai esok.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pada 1.00 tengah hari, hari ini.
JPN berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya ketika menghadapi cuaca panas atau keadaan cuaca di luar jangkaan.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pihak sekolah turut diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk Surat Siaran Kementerian Pendidikan Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.
Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti garis panduan berkaitan pelaksanaan aktiviti luar semasa cuaca panas seperti terkandung dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023.
Institusi pendidikan juga perlu peka terhadap perkembangan semasa dengan merujuk APIMS bagi memantau tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.
JPN menegaskan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan.
Oleh Shikin Mahmud




