Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sejarawan dalam penelitian peristiwa lalu
  • KOLUMNIS

Sejarawan dalam penelitian peristiwa lalu

Utusan Sarawak 1 day ago

PERBINCANGAN wacana kali ini cuba mengupas satu isu yang penting dalam sejarah iaitu penyelidikan sejarah. Bulan lepas, tular kenyataan daripada sebuah podcast yang mencabar pensyarah sejarah untuk ke hadapan dan bersuara mengenai isu-isu sejarah.

Hal ini berlaku kerana jemputan podcast kepada salah seorang pensyarah telah ditolak. Terus timbul perkataan penakut.

Walaupun isu ini telah lama berlalu, impaknya masih segar dalam ingatan para sejarawan. Bak kata pepatah, ‘better late than never’ — cabaran ini sebenarnya membuka ruang penting untuk kita membincangkan apa yang sebenarnya diperlukan oleh seorang sejarawan dalam mengemukakan sesuatu pandangan.

Hal ini kerana disiplin sejarah mempunyai metodologi tersendiri yang perlu difahami dengan mendalam. Penyelidikan sejarah bukanlah sekadar kutipan data tunggal yang boleh terus digeneralisasikan menjadi sebuah kesimpulan.

Sejarawan tidak membuat kesimpulan terus (jump to conclusions) apabila membicarakan sesuatu peristiwa.

Malah, ada juga yang melihat proses penyelidikan dan penulisan sejarah umpama mengutip data dan menampalnya seperti suai gambar (jigsaw puzzle) yang besar demi merumuskan sesuatu perkara.

Pandangan sedemikian seolah-olah memperkecil tugas sejarawan dan menganggapnya mudah, kononnya sesiapa sahaja boleh membuat kesimpulan berdasarkan satu sumber sahaja.

Hakikatnya, disiplin sejarah tidak semudah mengumpul data lalu terus membuat rumusan. Sebaliknya, ia merupakan sebuah bidang kajian yang bersendikan dan falsafahnya yang tersendiri.

Falsafah

Jika diteliti, perbincangan awal mengenai disiplin sejarah telah pun berlaku dalam pelbagai peradaban dunia. Peradaban Eropah misalnya, cuba mencari kearifan (wisdom) dalam pensejarahan mereka.

Pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh para sejarawan klasik, bermula daripada Herodotus sehinggalah ke Titus Livius (Livy) yang telah memberikan makna mendalam terhadap falsafah sejarah mengikut acuan pemikiran zaman tersebut.

Kajian Herodotus dalam sejarah juga menunjukkan perlunya satu penyelidikan rapi dengan menekankan sumber-sumber yang sebenarnya.

Zaman Rom pula penekanan oleh ahli sejarahnya dalam bahan penyelidikan sejarah adalah penting untuk penyelidikan dan penulisan. 

Livy misalnya menekankan pentingnya bahan yang muktabar. Dalam penyelidikannya beliau menekankan kepada kebolehpercayaan umum, kemasyhuran dan reputasi penulis tersebut, kedekatan pengarang dengan zaman yang dipersoalkan, potensi untuk penyesuaian sastera yang berkesan dan kelengkapan (fullness).

Rasional

Perkembangan ini turut dizahirkan dalam dunia Islam, di mana disiplin sejarah berkembang dengan pesat dan diberikan kerangka makna yang cukup signifikan oleh pelbagai aliran pemikiran (schools of thought) seperti golongan tradisionalis, Mu’tazilah, ahli kalam (teologi dialektik) dan ahli falsafah rasional. 

Dalam perbincangan kumpulan-kumpulan ini menggunakan pelbagai kaedah sejarah perlu difahami. Ada yang menekankan pentingnya wahyu (teks suci) dalam penyelidikan sejarah.

Tidak kurang juga menekankan akal (logic) mengatasi wahyu dalam pengkajian sejarah.  Dalam pendapat lain melihat sebab – akibat sebagai pegangan yang boleh membuat penyelidikan tentang masa lepas.

Sumbangan yang paling monumental sudah pastilah datangnya daripada Ibn Khaldun. Beliau memberikan takrifan bahawa makna tersirat sejarah itu melibatkan renungan mendalam (spekulasi) dan usaha murni untuk mencari kebenaran, penjelasan yang teliti mengenai punca serta asal-usul setiap perkara yang wujud, di samping pengetahuan mendalam tentang ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’ sesuatu peristiwa itu berlaku.

Pemikiran beliau ini merupakan satu anjakan paradigma yang amat besar dalam perkembangan disiplin sejarah dunia.

Bahan

Sejarawan awal China Suma Qian juga amat berhati-hati dalam penyelidikan dan penulisan serta memberi pendapat tentang sejarah. 

Ini kerana beliau menekankan kejituan bahan digunakan. Dengan kata lain bahan yang digunakan untuk membicarakan sejarah itu haruslah satu yang telah diuji kebenarannya sebelum membuat sesuatu pendapat tentang analisis dan tafsiran sejarah. 

Pemilihan bahan secara berhati-hati dalam penyelidikan sejarah juga kelihatan dalam penulisan sejarawan awal India iaitu Kalhana. 

Walaupun bab-bab awal penulisan beliau berbentuk mitos dan lagenda tetapi beliau menekan penting penggunaan pelbagai bahan untuk menulis sejarah. 

Beliau melakukan penyelidikan sejarah dengan mendapat sumber-sumber lisan daripada pihak pemerintah. Kajian beliau juga bukan setakat terhenti kepada lisan tetapi juga menggunakan juga kerja lapangan dengan menyelidik batu bersurat sebagai rujukan. 

Bahan-bahan bertulis seperti geran tanah (royal grants) dan piagam diraja (charters) juga digunakan untuk mengesahkan penulisan sejarah yang beliau tulis.

Mendalam

Rentetan daripada perbincangan awal ini menunjukkan sejarah itu bukan sesuatu yang mudah untuk diberi tafsiran dengan hanya menggunakan sumber-sumber tertentu. 

Ini kerana menurut sarjana sejarah England abad ke-18 iaitu Edward Gibbon bahawa sumber sejarah itu tidak boleh diambil bulat-bulat sebagai tafsiran. 

Apa yang perlu adalah meneliti bahan tersebut dengan melakukan boleh disoal balas secara sistematik (systematically cross-examined) untuk mengelak kecenderungan berat sebelah (biases) dan kelemahan tersembunyi (blind spots) yang boleh dikenal pasti. Dengan cara ini kebenaran dapat ditapis daripada cereka (fiksyen).

Perbincangan wacana historiografi tersebut membuktikan bahawa sejarawan tidak boleh mengambil jalan pintas dengan membuat kesimpulan secara melulu (arbitrary) dalam merumus sesuatu pentafsiran sejarah.

Sebaliknya, pelbagai dimensi metodologi perlu diperhalusi dengan teliti bagi memastikan naratif dan interpretasi yang dibina bersandarkan bukti empirikal yang kukuh, bukannya dipengaruhi oleh sentimen atau agenda tertentu. 

Oleh yang demikian, sejarah merupakan satu disiplin intelek yang rigid dan tidak boleh dipandang enteng. Ia berdiri di atas paksi epistemologi dan tradisi falsafah yang panjang lagi mendalam.

Merentas garis masa, setiap peradaban dunia berkongsi konsensus sejagat yang tekal bahawa dokumentasi sejarah wajib berteraskan sumber yang sahih dan tuntas.

Realiti ini sekali gus mengukuhkan premis klasik Edward Hallett Carr bahawa sejarah bukanlah sebuah monumen yang statik, melainkan sebuah rantaian wacana kritis dan dialog interaktif yang tidak akan pernah menemui titik noktah.

Secara tuntasnya sejarawan tidak boleh sewenang-wenang memberi pandangan tanpa penelitian bahan-bahan yang muktabar dan telah dikaji.

Hal ini mengelak kekeliruan lebih besar dalam masyarakat kerana ketidak fahaman tentang sejarah akan melencongkan pemikiran mereka.

Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Penyelenggaraan pesawat tidak sama seperti kereta
Next: Nama besar, kekuatan lokal dan ujian politik PRN Johor

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.