SEMANGAT PATRIOTIK…Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad bersama Abduraya Abdul
Gafor @ Abdul Gapor, para tetamu kenamaan yang lain serta kanak-kanak dari Tadika KEMAS mengibarkan
Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 P.212 Sibu.
HUJAN membasahi bumi di awal pagi tidak mematahkan semangat warga ibu bapa serta sejumlah 557 kanak-kanak menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Taman Selera Harmoni anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) P.212 Sibu baru-baru ini.
Anak-anak comel dari 49 TABIKA KEMAS dan dua TASKA KEMAS dari kawasan P.212 Sibu tersenyum lebar dengan pakaian busana merdeka yang begitu segak dan bergaya masing-masingnya.
Pertemuan sebegini yang sangat dinanti-nantikan oleh sekalian yang hadir setelah dua tahun tiada bersua muka akibat wabak pandamik Covid-19 umpama tiada pernah ketemu untuk sedekad lamanya sepertimana terpancar jelas dari riak wajah serta senyuman di antara mereka yang hadir.
Sementara itu, kehadiran tetamu kehormat Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Dr Annuar Rapaee menyerikan lagi suasana majlis tersebut.
Di antara objektif utama Sambutan Hari Kebangsaan 2022 kawasan P.212 Sibu ialah untuk menanamkan sikap sayang dan cinta kepada negara, menanam rasa hormat dan menghargai warga emas sebagai warga pembangunan negara serta memupuk dan memperkukuh semangat setia pada negara.
Selain itu, bertujuan menyemai rasa syukur dan menghargai kebebasan serta kemerdekaan negara dan juga menjalin kerjasama dikalangan Jabatan KEMAS dengan ibubapa serta masyarakat amnya.
Pegawai KEMAS Bahagian Sibu, Abduraya Abdul Gafor @ Abdul Gapor turut hadir bersama.
Walaupun hujan terus membasahi bumi, namun beberapa aktiviti yang telah dirancang terus dilaksanakan dengan lancar dan penuh semangat patriotisme.
Beberapa aktiviti yang dipertandingkan ialah Busana Merdeka, Mercu Tanda, Sepanduk Terbaik dan juga Kreatif Merdeka.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR