SKUAD Seda United berjaya melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan Singai Cup 2020 Edisi ke-3 di Stadium Mini Bau semalam.
Hari bersejarah buat pasukan yang dipimpin oleh John Matcho itu tercipta setelah mengatasi pencabar utama Sagah FC dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir yang cukup dramatik.
Selaku juara, Seda United membawa pulang hadiah berupa hadiah wang tunai RM1,500, piala kejuaraan dan iringan serta medal manakala Sagah FC membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000, piala iringan dan medal.
Tempat ketiga menjadi milik Real Bobak yang membawa pulang piala, medal dan wang tunai berjumlah RM700 sementara tempat keempat disandang Apar United yang membawa pulang piala iringan, medal dan wang tunai berjumlah RM500.
Pengurus Seda United, John Matcho berkata, penyertaan pasukannya pada kejuaraan Singai Cup 2020 Edisi ke-3 kali ini sememangnya menyasarkan untuk merebut kejuaraan.
“Saya puji para pemain kerana mereka memang berhak menjadi juara pada kali ini dan saya tahu pasukan pihak lawan (Sagah FC) juga turun dengan misi merebut gelaran juara, namun saya mengingatkan para pemain untuk terus fokus dan tidak memberi ruang kepada lawan,” ujarnya.
Beliau turut gembira kerana komitmen dan usaha semua pemain dan persiapan rapi pasukan telah berjaya membuahkan hasil.
Dalam pada itu, penganjur utama kejohanan Sylvester Asroy amat berpuas hati dengan penganjuran kali ini serta menyatakan hasrat untuk terus menggiatkan pembangunan bola sepak di kalangan belia Singai pada masa akan datang.
Malah beliau juga berharap ada agensi-agensi, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang tampil untuk bekerjasama dalam usaha tersebut.
Kejohanan yang disertai 10 pasukan itu telah pun bermula pada pertengahan September lalu dan berakhir semalam.
Kesemua hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep.
Oleh Adi Safarman