SIBU: Program Festival Sastera Kanak-Kanak Sarawak (SCLF) 2024 di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu baru-baru ini, telah mencatatkan kehadiran seramai 6,164 pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad telah menyempurnakan majlis perasmian acara tersebut.
Pustaka Sibu dalam satu kenyataannya memberitahu, SCLF dianjurkan setiap tahun bagi meraikan kanak-kanak serta menyediakan platform untuk menyerlahkan bakat mereka dalam pelbagai bidang kreatif.
Festival kali ini menawarkan lebih 100 aktiviti interaktif yang dibahagikan kepada lapan kategori utama, termasuk Storyspace, Makers & STEM Space, Artistic Space dan Performance Space.
Aktiviti-aktiviti ini direka khusus untuk mengasah kreativiti dan kemahiran sosial kanak-kanak melalui pendekatan yang menyeronokkan.
Tahun ini juga, SCLF menampilkan lebih 50 rakan kerjasama serta pencerita terkenal dari luar negara seperti Seung Ah Kim dari Korea Selatan dan Anna Manuel dari Australia.
Kehadiran mereka berjaya menarik minat kanak-kanak terhadap pembacaan dan memberi pengalaman pembelajaran yang menarik.
Pustaka Sibu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir dan berharap program ini akan terus mendapat sokongan masyarakat.
Dengan sokongan yang berterusan, aktiviti bermanfaat seperti ini dapat dijalankan setiap tahun bagi memberikan ruang kepada kanak-kanak mengembangkan potensi mereka dalam suasana yang positif dan kreatif.
Oleh Akun Giman