BAYER Leverkusen melonjak kembali ke tempat kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA dengan keputusan seri 1-1 semalam menentang pasukan yang berhadapan dengan masalah kecederaan Schalke sekali gus mencipta rekod baharu kelab dengan 13 kali seri berturut-turut.
Keputusan ini meninggalkan Schalke tanpa kemenangan sejak kemenangan 2-0 Januari lepas di tempat sendiri ke atas Moenchengladbach ketika turun ke tangga kesembilan setelah menduduki tempat ketiga pada Disember.
Penalti pada awal babak kedua disempurnakan oleh pemain Schalke, Daniel Caligiuri selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Burkina Faso, Edmond Tapsoba.
Namun, pemain pertahanan Schalke, Juan Miranda kemudian tertolak bola ke dalam gawang sendiri sembilan minit sebelum tamat untuk melebarkan rentak tanpa kemenangan mereka.
Caligiuri harus dipersalahkan atas gol sendiri ketika dia kehilangan bola kepada pemain pertahan Leverkusen, Wendell, yang terus melakukan hantaran silang rendah ke dalam kotak penalti Schalke dan ke arah Miranda.
Leverkusen, yang menempah tempat di final Piala Jerman pada 5 Julai nanti kini berada di tempat keempat dengan tiga baki perlawanan dan menuju ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan.
Schalke mengalami senarai kecederaan yang semakin meningkat dengan sepuluh pemain diketepikan.
“Saya sudah berhenti mengira,” kata ketua jurulatih David Wagner, bekas pengurus Huddersfield, sebelum sepak mula ketika dia membuat empat perubahan daripada pasukan yang seri 1-1 di Union Berlin hujung minggu lalu.
“Kami harus berdiri bersama sebagai satu pasukan dan bertarung, itu adalah langkah lain hari ini setelah perlawanan di Berlin,” tambah Wagner setelah keputusan semalam.
Kapten bawah 19 tahun Royal Blues, Can Bozdogan membuat penampilan sulung di sayap kanan sementara pemain gantian babak kedua Jonas Hofmann, 23, juga beraksi dalam pertandingan Bundesliga pertamanya setelah dibawa masuk daripada pasukan simpinan. – AFP