Scaloni akui Sepanyol layak menang Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mengakui Sepanyol berhak muncul juara selepas pasukannya tewas 0-1 kepada La Roja pada final Piala Dunia 2026 menerusi masa tambahan, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Pemain gantian, Ferran Torres menjaringkan gol pada babak kedua masa tambahan ketika Sepanyol akhirnya berjaya memecah kebuntuan menentang Argentina yang beraksi dengan 10 pemain untuk menang 1-0 di Stadium MetLife.

Argentina yang dibarisi bintang utama, Lionel Messi, memburu sejarah untuk menjadi pasukan pertama sejak 1962 yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia

“Mereka adalah pasukan yang lebih baik, itu hakikatnya, tetapi saya akan menghargai kenangan bersama pasukan saya, apa yang telah mereka capai dan nilai perjuangan untuk sampai sejauh ini,” kata Scaloni.

“Kita perlu memberikan penghargaan yang besar terhadap pencapaian ini kerana ia memerlukan usaha yang sangat tinggi.”

Scaloni berkata pasukannya perlu menerima kekalahan dengan semangat yang sama ketika mereka meraikan kejayaan sebelum ini

“Kami tahu bersikap rendah hati ketika menang, dan kami juga perlu menunjukkan sikap yang sama ketika tewas. Hari ini, kami membuktikan bahawa kami tahu cara menerima kekalahan,” katanya.

“Kami kalah dalam perlawanan ini dan kami menerimanya, tetapi itu tidak bermakna kami berhenti meneruskan perjuangan atau melupakan segala yang telah kami lakukan untuk sampai ke tahap ini.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong atas sokongan luar biasa sepanjang kempen Piala Dunia 2026.

“Kepada rakyat, pemain saya dan negara ini, saya ingin katakan bahawa kami telah memberikan segala-galanya,” katanya.

“Kami tiba di sini dengan menghadapi situasi yang realistik, tetapi jika pemain memberikan segalanya di atas padang seperti yang mereka lakukan hari ini, ia menjadi contoh yang hebat buat rakyat dan negara kami.

“Kami perlu bangkit semula, tiada jalan lain,” tambahnya.

Scaloni, 48, berkata pencapaian Argentina mara ke final buat kali kedua berturut-turut perlu dihargai

“Saya sememangnya menghargai kedudukan naib juara ini kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, dan saya fikir ia wajar diberikan pengiktirafan yang besar,” katanya.

“Sudah tentu kami mahu menang, tetapi pada akhirnya saya berasa bersyukur. Itu satu-satunya perkataan yang dapat saya ungkapkan, selain rasa sedih tentunya.

“Namun, apabila anda sudah memberikan segala-galanya seperti itu, sama ada anda bermain baik atau tidak, amat sukar untuk mencari kesalahan.” – AFP