SBP perkukuh ekosistem inovasi, bioindustri Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Pertukaran Perjanjian Taman Bioindustri Sarawak (SBP) di Kota Samarahan, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Taman Bioindustri Sarawak (SBP) bakal menjadi platform penting dalam merapatkan jurang antara penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan pengkomersialan, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi dan bioekonomi negeri.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penubuhan SBP mencerminkan komitmen Sarawak untuk membangunkan ekonomi berasaskan inovasi, selain menyediakan peluang kepada penyelidik dan bakat tempatan menyumbang kepada industri bio.

Katanya, Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) kini mempunyai Perpustakaan Produk Semula Jadi yang merangkumi lebih 29,000 ekstrak tumbuhan, 24,000 strain mikrob dan lebih 600 strain alga, selain pelbagai sumber biologi lain.

“Namun, penyelidikan hanya mencipta nilai apabila pengetahuan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Antara cabaran terbesar institusi penyelidikan di seluruh dunia ialah merapatkan jurang antara penemuan saintifik dengan pengkomersialan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Pertukaran Perjanjian SBP, di sini, hari ini. 

Menurutnya, SBP yang merupakan projek pemangkin di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) diwujudkan bagi memastikan hasil R&D dan aset biologi Sarawak dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi.

Beliau berkata, kemudahan di Pusat Teras SBP akan memberi akses kepada industri, khususnya syarikat pemula berasaskan bio, perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat nutraseutikal dan teknologi untuk membangunkan, mengesahkan serta meningkatkan skala produk bagi pasaran global.

“SBP juga menyediakan platform kepada universiti dan institusi penyelidikan untuk menyelaraskan hasil penyelidikan dengan keperluan industri supaya penemuan saintifik dapat berkembang menjadi prototaip, harta intelek dan produk komersial,” katanya. 

Pada majlis itu, lapan perjanjian kerjasama strategik dan Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT) dengan rakan industri.

Ia membabitkan Twin Catalyst Sdn Bhd bagi meneroka kemudahan pengeluaran gred farmaseutikal; Fly Technology Agriculture Sdn Bhd (WormingUp) dalam biopenukaran lalat askar hitam; Pawada Sdn Bhd bagi pembangunan makanan fungsional berasaskan sumber pertanian tempatan; serta Bioeconomy Corporation untuk pembangunan inisiatif Sarawak Cellular BioFoundry.

Kerjasama turut melibatkan Normah Medical Specialist Centre bagi menyokong Sarawak Regenerative BioFoundry, CRAUN Research Sdn Bhd dalam pembangunan produk makanan fungsional berasaskan sagu, Control Union Malaysia bagi pensijilan, pemeriksaan dan jaminan ESG, serta SIRIM Berhad dalam ujian piawaian, perkhidmatan makmal, metrologi dan sokongan teknikal.

Sagah berkata, inovasi tidak boleh berkembang secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama kerajaan, industri, pelabur dan akademia. 

Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangunan bioindustri perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab menerusi rangka kerja Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) Sarawak bagi memastikan kepelbagaian biologi negeri dilindungi serta manfaatnya dikongsi secara adil dengan komuniti. 

Pembinaan Pusat Teras SBP di tapak seluas 100 ekar di Kota Samarahan dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan dan bakal mengintegrasikan penyelidikan, inovasi, pembangunan produk, pembuatan serta pengkomersialan dalam satu ekosistem.

Oleh Afiq Sallehi