SIMANGGANG: Kem Latihan Kelab Badminton Simanggang (SBC) berjaya menghimpunkan pemain muda dalam program latihan intensif yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran, disiplin serta pembentukan semangat kesukanan.
Program anjuran SBC dengan kerjasama Akademi Badminton Ant itu turut menjadi platform untuk peserta memperkukuh asas permainan serta meningkatkan keyakinan diri menerusi pelbagai aktiviti dan latihan.
Sepanjang kem latihan berlangsung, peserta menerima bimbingan dan tunjuk ajar daripada barisan jurulatih yang berpengalaman dalam usaha membantu mereka meningkatkan keupayaan serta prestasi dalam sukan badminton.

Selain aspek teknikal, program berkenaan turut menekankan nilai disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan dalam membentuk pemain berkualiti di gelanggang, malah mempunyai sahsiah yang baik.
Wakil Akademi Badminton Ant, Anthony Lim, turut menyampaikan amanat kepada peserta pada majlis penutupan, selain memberikan nasihat dan panduan sebagai dorongan untuk mereka terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang badminton.
Majlis penutupan turut dihadiri Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohd Israk Ismail Presiden SBC, Kapitan Tay Buan Boon barisan Ahli Jawatankuasa SBC serta jurulatih Akademi Badminton Ant.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang memberikan sumbangan, sokongan dan kerjasama dalam menjayakan kem berkenaan.

Cenderamata disampaikan kepada wakil Akademi Badminton Ant, manakala sijil penyertaan diberikan kepada peserta yang berjaya menamatkan Latihan sepanjang kem berkenaan.
Penyampaian sijil disempurnakan Setiausaha Persatuan Badminton Simanggang, Ting Sing Ren, dengan wakil peserta, Kho Ek Ming, menerima sijil berkenaan.
Penganjuran kem berkenaan diharap memberi manfaat berterusan kepada peserta, khususnya dalam mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh bagi meningkatkan prestasi masing-masing.
Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen SBC dan Akademi Badminton Ant dalam memperkasa pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi, sekali gus membuka peluang kepada pemain muda untuk terus berkembang dalam bidang badminton.
Oleh Adi Safarman





