
LIVERPOOL: Arne Slot berkata beliau meninggalkan Liverpool “tepat di tempat yang sepatutnya, iaitu dalam kalangan elit Eropah”, menerusi sepucuk surat penuh emosi kepada penyokong selepas dipecat sebagai ketua jurulatih.
Pengendali dari Belanda itu dipecat pada Sabtu, hanya 12 bulan selepas memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), susulan musim mempertahankan kejuaraan yang mengecewakan apabila Liverpool menamatkan saingan di tangga kelima, 25 mata di belakang juara, Arsenal.
Walaupun tewas 20 kali dalam semua pertandingan, Liverpool masih berjaya mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kelab itu dilaporkan bakal memulakan rundingan rasmi dengan bekas pengurus Bournemouth, Andoni Iraola, bagi mengisi kekosongan di Anfield minggu ini.
Dalam surat terbuka kepada penyokong yang diterbitkan oleh Liverpool Echo pada Isnin, Slot, yang menggantikan Jurgen Klopp pada 2024, berkata kejayaan memenangi gelaran EPL pada musim pertamanya adalah sesuatu yang “amat istimewa”.
“Gelaran liga ke-20 Liverpool adalah milik kita semua dan ia akan kekal sebagai satu bab penting dalam sejarah kelab ini,” kata Slot.
“Atas sebab itu, kita semua harus berbangga.
“Kelab ini sentiasa menilai dirinya berdasarkan kejayaan terbesar. Begitulah sepatutnya.
“Tetapi saya meninggalkan kelab ini dengan keyakinan bahawa ia berada tepat di tempat yang sepatutnya, iaitu dalam kalangan elit Eropah. Memastikan tempat ke Liga Juara-Juara adalah satu tanggungjawab yang penting.”
Slot, 47, berkata beliau berasa bertuah dapat menyaksikan sendiri semangat belas ihsan dan perpaduan penyokong Liverpool selepas insiden Paul Doyle merempuh orang ramai dengan keretanya di pusat bandar ketika sambutan kejuaraan musim lalu, yang menyebabkan ramai penyokong cedera.
Doyle dipenjarakan lebih 21 tahun selepas mengaku bersalah terhadap 31 pertuduhan.
Slot turut memberi penghormatan kepada penyerang Portugal, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol hanya beberapa minggu selepas Liverpool menjuarai liga.
“Dalam antara saat paling sukar yang pernah dihadapi kelab ini, kasih sayang, keprihatinan dan sokongan yang ditunjukkan oleh keluarga Liverpool amat luar biasa,” katanya.
“Ketika saya meninggalkan kelab ini, saya tidak boleh tidak menyebut bahawa cara anda semua menghormati Diogo dan bersatu mengenangnya akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya.
“Hubungan yang kita kongsi melangkaui bola sepak, melangkaui malam-malam Eropah di bawah cahaya lampu Anfield atau laungan ‘You’ll Never Walk Alone’ dari The Kop.
“Anda membuatkan saya berasa dialu-alukan sejak hari pertama dan membantu saya sepanjang perjalanan ini. Itulah sesuatu yang akan sentiasa saya hargai.” – AFP