SHAH ALAM: Status masa depan pengendali skuad Selangor, B. Sathianathan pada musim depan bergantung kepada prestasi pemain dalam mempamerkan hasil terbaik dalam saingan Liga Super buat masa ini.
Pengendali skuad The Red Giants itu berkata, beliau kini masih menjalankan tugasnya sebagai jurulatih dan terserah kepada pihak pengurusan untuk menentukan nasibnya selepas perlawanan musim ini menutup tirainya.
“Bagi saya, saya adalah jurulatih pasukan, saya tidak peduli dengan masa depan saya. Selagi apa yang semua pemain tahu, saya akan memberikan seratus peratus kepada pasukan. Itu yang saya ambil tahu.
“Mereka (pihak pengurusan) boleh memutuskan apa sahaja yang mereka mahukan. Saya tidak mengambil cuti walaupun sehari… saya bekerja.
“Saya melakukan semuanya dan pemain juga melakukannya. Saya telah memberikan 100 peratus, jadi saya tidak peduli, mereka (pihak pengurusan) boleh buat apa yang mereka mahu,” katanya.
Beliau mengulas mengenai masa depan beliau bersama Selangor bagi musim hadapan dalam sidang media perlawanan Liga Super antara Selangor menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Universiti Teknologi Mara, Sabtu lalu.
Selangor gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri walaupun pelbagai percubaan menarik dilakukan bagi membolosi gawang yang dikawal ketat penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Jelasnya, bagi perlawanan itu pasukannya mempunyai peluang untuk menghasilkan gol namun peluang tersebut tidak dimanfaatkan bahagian jentera serangan skuad kendaliannya.
Dalam pada itu, Sathianathan turut menegur tindakan pengadil dalam melakukan pengadilan, yang baginya dianggap tidak adil terutama ketika waktu tambahan.
“Anda hanya memberi masa tambahan empat minit dan pada masa yang sama, ada pemain yang jatuh dalam permainan. Saya tidak faham dengan situasi itu. Itu tidak termasuk pertukaran pemain dan lain-lain.
“Ada dalam situasi ini memberi kelebihan (untuk pasukan tertentu). Sekiranya pengadil adalah sangat tegas, tidak ada pemain yang akan ambil kesempatan. Ia membunuh permainan.
“Oleh itu, saya berharap pengadil mempunyai keberanian dalam mengatur masa perlawanan dengan betul. Saya hanya membantu untuk meningkatkan bola sepak dan saya tidak bercakap buruk tentang mereka,” katanya.
Selangor akan menentang Sabah dalam perlawanan seterusnya pada Jumaat ini dalam misi memburu kemenangan pertama mereka selepas Liga Super ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara. -Bernama