
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus memperkukuh budaya kerja sihat dan produktif dalam kalangan warga kerjanya menerusi penganjuran Program Saringan Kesihatan yang diadakan di lobi MBKS, hari ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan MBKS dalam memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kebajikan kakitangan sentiasa diberi keutamaan.
Menurut beliau, tenaga kerja yang sihat merupakan asas penting dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan lebih efisien serta mengekalkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

“Warga kerja MBKS merupakan tulang belakang kepada Majlis. Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan kami.
“Kesihatan yang baik bermula daripada warga kerja sendiri. Apabila kakitangan sihat, mereka dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat, sekali gus menyemai budaya kesedaran kesihatan dalam komuniti,” katanya.
Program saringan kesihatan tersebut dijalankan secara percuma dengan kerjasama Borneo Medical Centre, melibatkan pemeriksaan asas seperti Indeks Jisim Badan (BMI), tekanan darah, saringan glukosa serta kolesterol.

Selain itu, lebih 100 kakitangan MBKS yang terdedah kepada risiko pekerjaan seperti bahan kimia, penyakit berjangkit, bahaya persekitaran dan risiko tugasan lapangan turut menjalani saringan darah terperinci sebagai langkah pencegahan awal.
Beliau berkata, inisiatif tersebut juga selaras dengan komitmen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) MBKS dalam memastikan semua kakitangan bekerja dalam persekitaran yang selamat, khususnya mereka yang terlibat dalam tugas berisiko tinggi.
Dalam pada itu, Wee turut merakamkan penghargaan kepada Borneo Medical Centre atas kerjasama strategik dalam menjayakan program berkenaan serta usaha berterusan meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan warga kerja.
Program tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan MBKS melibatkan pelbagai bahagian dan unit, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran kesihatan yang semakin meningkat dalam organisasi berkenaan.