Sarawak Water siasat kebocoran disyaki libat paip utama 1,100mm di Jalan Matang

Facebook
WhatsApp
KEADAAN di Jalan Matang Batu 6 yang dikenal pasti sebagai lokasi disyaki berlaku kebocoran pada saluran paip air utama berdiameter 1,100 milimeter (MSCL). Sarawak Water sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti lokasi sebenar dan tahap kebocoran.

PETRA JAYA: Sarawak Water sedang menjalankan siasatan berhubung kebocoran yang disyaki berlaku pada saluran paip air utama berdiameter 1,100 milimeter jenis Mild Steel Cement Lined (MSCL) di Jalan Matang yang membekalkan air terawat ke Takungan Bukit Siol bagi pengguna di Kuching, Petra Jaya dan kawasan sekitarnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sarawak Water memaklumkan setakat ini tiada gangguan bekalan air berjadual dilaksanakan, manakala pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti lokasi sebenar serta tahap kebocoran sebelum sebarang tindakan pembaikan diputuskan.

Menurut kenyataan itu, bagi tujuan siasatan, pihaknya perlu mengakses injap pengasingan yang terletak di pembahagi jalan bagi membolehkan saluran paip diasingkan dengan selamat untuk penilaian lanjut.

PAPAN tanda amaran dipasang di Jalan Matang Batu 6 sebagai langkah keselamatan susulan siasatan terhadap kebocoran yang disyaki melibatkan saluran paip air utama. Pengguna jalan raya dinasihatkan memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan lalu lintas.

“Kerja-kerja tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memudahkan kerja pengorekan dan akses selamat ke lokasi injap,” menurut kenyataan itu.

Sarawak Water menjelaskan, memandangkan saluran paip itu merupakan antara paip utama yang membekalkan air terawat ke Kuching dan kawasan sekitarnya, sebarang kerja pembaikan akan dirancang dengan teliti bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna.

Katanya, sekiranya kerja pembaikan memerlukan gangguan bekalan air sementara, notis rasmi akan dikeluarkan lebih awal dengan memaklumkan kawasan yang terjejas, tempoh gangguan serta langkah mitigasi yang akan dilaksanakan.

PELAN menunjukkan lokasi disyaki berlaku kebocoran pada saluran paip air utama 1,100 milimeter (MSCL) dan saluran paip 381 milimeter di Jalan Matang Batu 6 yang kini sedang disiasat oleh Sarawak Water.

Sementara itu, penghadang keselamatan, papan tanda amaran dan kawalan lalu lintas telah dipasang di kawasan terlibat, manakala pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati serta mematuhi arahan lalu lintas ketika melalui Jalan Matang Batu 6.

Sarawak Water turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengambil semua langkah sewajarnya bagi memastikan sebarang kerja yang diperlukan dapat dilaksanakan dengan selamat, cekap serta mengurangkan kesulitan kepada pengguna. 

Orang ramai juga digalakkan mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran komunikasi rasmi Sarawak Water.

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman