KUCHING: Kerajaan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat menunaikan janji untuk memberikan autonomi pendidikan dan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata inilah menjadi harapan rakyat di negeri ini.
“Kita bersyukur kerana kerajaan baharu yang ditubuhkan semalam iaitu ‘Kerajaan Perpaduan’ selaras dengan prinsip rukun negara yang kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah bersama untuk menubuhkan kerajaan baharu ini demi kepentingan rakyat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Dr Annuar berkata, ‘Kerajaan Perpaduan’ ini mesti mengotakan janji mereka seperti dalam manifesto bernombor 33 iaitu desentralisasi wilayah Sabah dan Sarawak.
“Salah satunya adalah autonomi pendidikan dan kesihatan. Kita mengharapkan bahawa janji ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat,”katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri ke-10.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada jam 5.06 petang semalam.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh NUR AIN OTSMAN