KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meneruskan pembangunan ekonomi yang mampan, sekali gus mengangkat pendapatan rakyat di bandar dan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak juga akan sentiasa memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kepentingan rakyat.
“Saya yakin kita berada di dalam ‘perahu’ yang sama (mementingkan kestabilan negara) dan saya percaya sekiranya kita berkayuh bersama-sama kita akan tiba di destinasi dengan lebih cepat.
“Pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah kita hendak menyatukan semua masyarakat dan mendukung semangat seluruh negara dengan kekuatan yang ada pada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan keyakinan terhadap kepemimpinan Anwar bagi mengembalikan Malaysia sebagai negara yang tersohor di atas landskap dunia.
“Sebab itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lepas keadaan politik tidak begitu menentu untuk menubuhkan kerajaan tetapi Alhamdulilah dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah kita mampu membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan bagi mengatasi krisis politik negara.
“Saya percaya dengan pengalaman (Anwar) sebelum ini sebagai timbalan perdana menteri, kita akan menjadikan negara ini sebuah negara yang hebat semula dengan kekuatan yang kita ada.
“Bagi Sarawak pula, kita percaya Sarawak yang makmur akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur. Saya pasti dengan latar belakang dan pengetahuan anda, bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi bersama-sama Sabah, kita dapat memupuk semangat berpasukan demi negara kita yang tercinta, Malaysia,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA