PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk membuat pelaburan berjumlah RM100 bilion bagi tempoh lima tahun bermula tahun depan hingga 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan ini akan dibuat ke atas lima sektor penting yang akan memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak buat jangka masa panjang.
Katanya, lima sektor tersebut adalah pendigital ekonomi, sumber tenaga bersih, pendidikan, tarikan pelaburan luar dan pembangunan infrastruktur.
“Apabila kita sudah mempunyai sistem pendidikan yang kukuh, ada industri perkilangan, tenaga dan ekonomi digital, seterusnya kita perlu bangunkan ialah infrastruktur strategik asas yang akan membolehkan orang luar datang ke Sarawak sama ada pelancong atau ahli perniagaan.
“Jadi, seperti yang saya katakan, lima tahun yang akan datang kita akan melabur RM100 bilion dan salah satu keutamaan kita adalah untuk membina lapangan terbang kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030): Sorotan 2023 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Abang Johari berkata pelaburan dalam sektor tenaga pula akan memfokuskan kepada tenaga hijau yang boleh diperbaharui memandangkan tumpuan dunia kian beralih kepada penggunaan tenaga ini.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah meramalkan bahawa harga pasaran hidrogen akan menurun sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
“Ini merupakan perkara yang amat penting kerana sekiranya harga hidrogen berada di bawah harga pasaran, maka kos pengeluaran juga akan bertambah murah secara relatifnya berbanding dengan yang lain.
“Inilah yang sektor swasta mahukan, kita dapat sediakan perkara ini maka sektor swasta akan datang ke Sarawak untuk memproses pembuatan produk mereka dan sepanjang proses tersebut, mereka akan merekrut kakitangan sekali gus menyediakan peluang pekerjaan di sini,” katanya.